PELANCONGAN SELANGOR

Pelancongan Selangor giat dipromosi di Jepun

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 MAC: Kempen Media Sosial akan dilancarkan secara eksklusif di Jepun, minggu ini dengan menggunakan medium Facebook sebagai platform utama dalam mempromosikan Selangor.

Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din berkata Tourism Selangor turut memanfaatkan tiga segmen membabitkan eko pelancongan, warisan dan pendidikan pelancongan berdasarkan pola kedatangan pelancong negara itu.

Katanya, usaha itu selepas memperlihatkan Selangor menerima sejumlah 212,000 pelancong Jepun pada tahun 2017 dengan ketibaan tertinggi pada bulan Ogos pada 28,000.

“Terdapat peningkatan yang mantap dalam bilangan kedatangan pelancong negara itu ke negeri ini. Kami berharap peningkatan pelancong itu akan membawa pulangan bernilai RM5.49 bilion.

“Untuk mencapai matlamat ini, Tourism Selangor mempunyai beberapa program yang dirancang dengan kempen baru’#takemeanywhere’ yang akan mempromosikan bidang utama tumpuan pelancongan di Selangor,” katanya.

Noorul Ashikin berkata Tourism Selangor juga akan bekerjasama dengan Biro Pelancongan Jepun di Osaka dan Tokyo untuk lawatan Kerajaan ke Kerajaan (G2G) bagi membincangkan lagi kempen promosi masa depan.

Katanya, ‘Selangor Familiarisation Trip’ membabitkan pemain industri dan media serta Lembaga Pendidikan Jepun berpeluang menyertainya yang akan diadakan pada Ogos depan.

Bermula 18 hingga 24 Mac ini, Tourism Selangor menyertai ‘roadshow’ yang pertama diadakan di Osaka, Jepun dengan penyertaan dari Sky Mirror, Kuala Selangor, Cyberview Resort dan Majlis Daerah Kuala Selangor.

Ia merupakan roadshow mengenai Selangor di negara itu dengan rakan rasmi AirAsiaX.

Roadshow itu disertai oleh peserta tempatan dari kedua-dua negara membabitkan pelbagai agensi kerajaan, pengusaha hotel, pengendali kesihatan dan pendidikan.

Tourism Selangor turut mengadakan mesyuarat B2B Persatuan Pelancongan Jepun (JATA) dan Tabikobo Co. Ltd. semasa lawatan pertama di roadshow di Osaka, Jepun.

=EZY=


Pengarang :