PENDIDIKANSELANGOR

PEMADAM bina tapak di IPT perangi dadah habis-habisan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BESTARI JAYA, 18 MAC: Dalam usaha meremajakan program anti dadah, pihak Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) dengan kerjasama Kerajaan Selangor berhasrat membina tapak di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) bagi memerangi penyalahgunaan dadah.

Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari menyambut baik untuk melaksanakan inisiatif berkenaan dalam mengekang penularan dadah terutama mahasiswa.

Katanya, Universiti Selangor (UNISEL) dipilih sebagai destinasi pertama di negeri ini yang mempunyai kelab PEMADAM sendiri bagi memperkukuhkan kerjasama pembangunan program anti dadah.

“Usaha ini diyakini membantu melawan musuh nombor satu negara iaitu dadah yang terbukti telah menghancurkan dan memusnahkan masa depan negara.

“Berdasarkan statistik pada 2017, sebanyak 3,300 kes dengan 539 daripadanya melibatkan penagihan baru dan penagihan berulang serta 350 penagih baru yang terkesan adalah dalam kalangan penuntut universiti sekaligus dilihat berada pada landasan merisaukan semua pihak,” katanya.

Beliau berkata semasa berucap di majlis Perasmian Anti Dadah Peringkat IPT Selangor, di Pusat Sukan IPIS, di sini, malam tadi.

Amirudin berkata, di peringkat Kerajaan Negeri beliau bersama PEMADAM menyertai kegiatan itu kerana percaya ia adalah platform dan wahana penting untuk melawan gejala penagihan dadah yang sangat membimbangkan.

“Justeru, kita ingin membawa mesej anti dadah kepada orang ramai khususnya pelajar, kerana yakin lebih baik membanteras gejala dadah daripada memerangi gejala seperti rasuah, ketidakadilan dan pengkhianatan yang tidak pernah berakhir.

“Bagaimanapun, golongan belia wajar dititikberatkan memandangkan mereka adalah aset penting negara yang bakal menerajui negara pada masa hadapan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :