SELANGOR

Pembangunan masjid, institusi Islam perkukuh ukhwah umat Islam

OLEH HAFIZAN TAIB

KUAL LUMPUR, 10 MAC: Pembangunan masjid dan institusi Islam di Selangor menjadi tunjang dalam memperkukuhkan ukhwah umat Islam dan muafakat dalam kalangan rakyat di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri juga bukan sahaja fokus kepada pembangunan sebaliknya turut memastikan ia diimarahkan dengan pelbagai aktiviti.

“Kerencaman dan kepelbagaian sama ada agama, budaya serta kumpulan etnik bukan satu masalah tetapi khazanah kepada negeri ini dan menjadi cabaran kepada kita bagaimana dapat mengurusnya dengan bertanggungjawab.

“Dengan perpaduan dan keharmmonian ini kita mampu mengangkat martabat umat Islam dan rakyat keseluruhannya,” katanya dalam majlis pecah tanah Masjid Kampung Klang Gate Baru di sini, hari ini.

Sebagai wahana perpaduan umat, beliau berkata, masjid harus menjadi institusi terunggul buat umat Islam yang berperanan sebagai pusat ibadah, pendidikan dan pengembangan syiar Islam sebagai bentang kepada aqidah ahli sunnah wal jamaah.

Katanya, ia juga perlu memainkan peranan sebagai pusat tarbiah yang menyemai nilai murni demi membangunkan umat yang memiliki jati diri Muslim sejati.

“Untuk memperkukuhkan pembangunan kerohanian supaya umat Islam di Selangor seimbang dan sederhana, Kerajaan Negeri tuntas menggalas tanggungjawab membangunkan institusi Islam sama ada masjid, surau, sekolah rendah agama dan sebagainya.

“Kerajaan Negeri juga memperuntukkan RM106 juta bagi tujuan pembangunan yang diletakkan di bawabh tanggungjawab Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan diyakini usaha ini dapat disempurnakan dengan baik,” katanya.

Pembangunan Masjid Kampung Klang Gate Baru membabitkan kos RM23.1 juta dibiaya sepenuhnya Kerajaan Negeri dan dijangka siap menjelang 2020.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahya; Ahgli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib; Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim, dan Pengarah Jabatan Kerja Raya Selangor, Dato’ Ir Ruslan Abdul Aziz.


Pengarang :