SELANGOR

Pembangunan modal insan berprinsip diutama bentuk jati diri

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 25 MAC: Kerajaan Negeri mementingkan pembangunan modal insan berkualiti dan berprinsip serta jati diri kukuh khususnya umat Islam di Selangor.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pencapaian ekonomi mampan diraih perlu diseimbangkan dengan pembangunan ummah supaya Selangor mencapai kemajuan lebih bermakna.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri memperkasakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dengan menyalurkan peruntukan lebih RM400 juta untuk kos operasi dan pembangunannya pada tahun lalu.

“Pada tahun ini, JAIS mendapat peruntukan RM106 juta untuk memastikan masjid, surau dan institusi Islam di Selangor terus diperkasakan.

“Ia tidak sahaja bertujuan dibangun dan dinaik taraf tetapi supaya institusi ini dapat diimarahkan anak kariah kerana melaluinya mendapat pencerahan serta melahirkan umat yang berani menegak keadilan dan kebenaran,” katannya dalam Majlis Jamuan Hi-Tea Rakyat Bersama Dato’ Menteri Besar di Masjid Jamek Kampung Nakhoda di sini, semalam.

Menerusi kaedah itu, katanya, pembangunan ummah di negeri itu mampu diseimbangkan dengan kemajuan ekonomi mampan diraih selama ini.

Katanya, Kerajaan Negeri tidak mahu melihat Selangor maju tetapi tanpa memiliki rakyat yang punya kekuatan dari segi prinsip dan idealisma perjuangan.

“Kita mencapai kemajuan dengan pembangunan industri dan bangunan hebat tetapi kita tidak mahu umat di dalamnya rosak serta tidak takut kepada Allah. Ia satu pembangunan yang tempang,” katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Selayang, Suliman Abdul Rahman; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya, Abdul Hamid Hussain dan Timbalan Nazir Masjid Kampung Nakhoda, Dato’ Seri Mohd Idris Kasim.

=EZY=


Pengarang :