NASIONAL

Pembentangan laporan akhir persempadanan di Parlimen tak sah

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 MAC: Pembentangan laporan akhir persempadanan semula di Parlimen oleh Perdana Menteri tidak sah dan tidak boleh diluluskan Yang Dipertua Dewan Rakyat kerana siasatan tempatan kedua untuk Selangor masih belum disiapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pemangku Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) Shahrul Aman Mohd Saari, berkata kes yang difailkan plaintif (pembantah) turut memohon perintah penggantungan (stay order) terhadap pembentangan, apa-apa perbincangan atau perbahasan dan pengundian di Parlimen mengenai laporan akhir persempadanan semula.

“Siasatan tempatan kedua persempadanan semula di Selangor telah diadakan pada 26 Februari hingga 1 Mac 2018 apabila kes ini difailkan kerana SPR gagal mengadakan sesi siasatan tempatan untuk kumpulan dalam kes ini walaupun mereka telah menghantar representasi bantahan.

“Keengganan dan kegagalan SPR untuk mengadakan siasatan awam untuk kumpulan-kumpulan pengundi ini merupakan rekod terburuk baru oleh SPR kerana mereka mahu menafikan hak asas 10,000 lebih pengundi untuk didengar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada satu sidang media di pejabat Bersih 2.0, Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, sesi siasatan awam merupakan hak yang diperuntukkan di bawah Seksyen 5, Jadual Ke-13, Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, SPR bersikap angkuh dan tidak bertanggungjawab kerana langsung tidak memaklumkan status representasi atau sesi siasatan awam mereka walaupun dua surat pertanyaan rasmi dihantar kepada SPR pada 28 Februari dan 12 Mac 2018.

“Pada 9 Mac 2018, kami mendapat tahu melalui siaran media SPR bahawa mereka telah menyiapkan urusan kajian persempadanan semula dan laporan akhir telah dikemukakan kepada Perdana Menteri untuk dibentangkan di parlimen,” katanya.

=EZY=


Pengarang :