NASIONAL

Pembinaan jalan raya Bangsar-Bukit Damansara, siapa yang untung?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 27 MAC: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor digesa mengadakan sesi ‘townhall’ bersama warga Bangsar dan Bukit Damansara mengenai pembinaan jalan raya bertingkat dari Lebuh Raya Sprint/Jalan Maarof ke persimpangan Jalan Semantan.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, ini kerana Tengku Adnan tidak memperincikan kesan pembinaan jalan raya itu terhadap masa perjalanan sebaliknya hanya menjanjikan penjimatan masa perjalanan dengan terbinanya jajaran bertingkat itu.

“Secara khusus, berapa minit pengguna akan jimat dengan pembinaan jalan raya 1.34 kilometer (km) ini yang bakal menelan belanja RM211 juta malah RM130 juta datangnya dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)?,” soalnya.

Semalam, Tengku Adnan memaklumkan pembinaan jalan raya sepanjang 1,340 meter dengan aliran tiga lorong dan satu hala secara bertingkat itu dijangka dapat mengurangkan kesesakan trafik.

Tengku Adnan juga dilaporkan sebagai berkata, projek pembinaan bernilai RM211 juta itu mendapat pembiayaan RM130 juta oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang mengambil masa kira-kira 30 bulan untuk disiapkan.

Mengulas lanjut berhubung perkara itu, Fahmi berkata, keadaan lalu lintas yang memasuki Bangsar melalui Jalan Maarof dijangka akan bertambah selain mempersoalkan pemilihan pemaju yang dipilih berdasarkan tender terbuka atau runding terus.

“Mengikut kajian DBKL, berapa minit pula yang akan terpaksa ditanggung warga Bangsar akibat peningkatan lalulintas ini nanti?

“Memandangkan RM130 juta atau 62 peratus kos pembinaan dibayar warga Kuala Lumpur melalui peruntukan DBKL, adakah pemilihan WCT Sdn Bhd melalui tender terbuka atau runding terus?

“Pada kos RM211 juta, jalan raya bertingkat sepanjang 1.34 km ini bakal menelan belanja RM157,462 per meter. Memandangkan RM130 juta datang dari wang rakyat, ini bermaksud warga Kuala Lumpur memberi subsidi RM97,015 per meter kepada syarikat pemaju,” katanya.

Beliau berkata, tanpa subsidi wang rakyat RM97,015 semeter itu, sudah pasti pemaju tidak akan dapat menyiapkan projek dalam masa 30 bulan seperti diumumkan.

“Saya menggesa Datuk Seri Tengku Adnan segera mengadakan satu pertemuan rakyat (townhall) sama seperti yang pernah beliau lakukan dengan warga Taman Tun Dr Ismail berkaitan pembinaan di Taman Rimba Kiara,”katanya.


Pengarang :