GLOBAL

Pengasas Toys R Us meninggal dunia

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

GLOBAL, 23 MAC: Pengasas gedung permainan terkemuka Toys R Us, Charles Lazarus, meninggal dunia pada usia 94 tahun seminggu selepas syarikatnya mengumumkan penutupan semua cawangan kedai, di Amerika Syarikat dan United Kingdom.

Lazarus dikatakan mengalami masalah kesihatan sejak kebelakangan ini dan meninggal dunia di Manhattan, semalam.

“Banyak momen sedih dilalui Toys R Us sejak beberapa minggu ini, namun tiada yang lebih menyedihkan daripada berita kematian pengasas kami, Charles Lazarus,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya menerusi Twitter.

Lahir pada 1923, Lazarus mengasaskan Toys ‘R’ Us pada 1948 dan mula menjual permainan di pasar raya besar pada 1957 selepas berkhidmat dalam Perang Dunia ke-2.

Terkenal dengan ikon R terbalik dalam logonya, syarikat permainan terbabit sebut dilaporkan gulung tikar akibat dibebani hutang susulan pembelian ambil alih pada 2005 oleh konsortium termasuk Kumpulan KKR dan Bain Capital, lapor BBC.

Persaingan daripada aplikasi membeli-belah dalam talian yang semakin mendapat perhatian turut menjejaskan bilangan pengunjung ke kedai dan menjurus kepada kerugian.


Pengarang :