SASTERA

Penjual Besok

Oleh Sheeraghafar

AKU dan bapaku menjual esok. Orang-orang di sini menyebutnya sebagai besok. Cuma ditambah ‘b’ di hadapan tapi masih memegang maksud sama. Kedai Besok warisan nenekku dan dibuka setiap hari. Setiap hari, ada sahaja orang yang datang membeli besok. Aku mula membantu bapa secara serius sejak dua bulan ini, apabila bapa ditinggal ibu yang lari. Dia tinggal bersama kekasihnya berselang lima buah rumah daripada rumah kami. Aku tidak sengaja terlihat ibu berpimpin tangan bersama seorang lelaki ketika di pasar malam kejiranan kami.

“Jodohnya terlewat lima rumah ke kanan,” bapa tenang menjawab apabila aku bertanya ke mana ibu selama dia tidak pulang-pulang menguruskan rumah? Sejak itu, aku benar-benar simpati dengan bapa. Aku berhenti bekerja sebagai manager di jabatan korporat sebuah syarikat penerbitan buku demi bapa. Walaupun tanpa ibu, semuanya masih sama padaku. Barangkali kerana aku memang tidak begitu rapat dengannya. Urusan rumah juga bapa yang atur buat kami dengan bantuan Bibik Zenda. Kami meneruskan hidup yang penuh dengan ketidaktentuan ini dengan baik. Setakat ini. Setakat ini.

Ada juga kedai yang menjual semalam. Teman sekolah rendahku, Ziad pernah menguruskan perniagaan tersebut setelah ibunya sakit tua. Kemudian setelah ibunya meninggal, Ziad menjual perniagaan itu kepada orang bandar yang berhijrah ke daerah ini. Setakat yang aku tahu, sehingga kini Ziad bekerja di sebuah syarikat guaman di pekan. Semalam sama laku dengan besok yang aku niagakan. Seperti besok, aku tidak pernah membeli semalam. Membeli besok atau semalam adalah perkara terakhir yang akan aku lakukan dalam hidup!

Aku tidak mempunyai masalah menguruskan perniagaan ini. Ketika aku masih bersekolah, aku menemani bapa pada setiap hujung minggu. Aku amati dan turut membantu bapa membuka kedai, melayan pelanggan, menguruskan hasil dapatan sehari-hari dan membungkus besok. Setiap kali besok diserahkan, pelanggan pasti pulang dengan wajah keliru. Pada aku, itu suatu ketidakpastian yang lewat!

Besok wujud dalam gelas kaca jernih berbentuk dadu. Setiap penduduk di daerah ini mempunyai satu peluang untuk melihat besok, besok-besok atau besok-besok-besok. Siapa-siapa yang melihatnya tidak penting. Namun, jika mahu melihat besok kepunyaan orang lain, mereka perlu berikat darah (saudara). Ada satu punat segera di bawah dadu itu. Ia akan menurut keinginan yang dinyatakan pemiliknya kepada aku atau bapa. Harga besok berbeza dengan besok-besok atau besok-besok-besok dan seterusnya. Semakin jauh besok, semakin mahal.

Langit menelan matahari dan memuntahkan kelam. Aku hampir sahaja menutup kedai. Bapa tidak juga datang menguruskan kedai seperti kebiasaan. Sejak belakangan ini, bapa selalu lewat ataupun hilang selepas waktu rehat tengah hari. “Ada hal di pekan.” Itu sahaja jawapan jika aku bertanyakan ke mana dia pada sekian-sekian waktu?

Tapi hari ini, lain benar daripada hari-hari sebelumnya. Bapa tidak menjengah kedai langsung. Aku fikir bapa tidak sihat dan tentu sahaja aku mula risau. Bapa sememangnya komited dengan tugas warisan ini. Padanya, keturunan ini mulia kerana dipertanggungjawabkan dalam memegang takdir manusia lain.

Aku lekas-lekas pulang mencari bapa.

“Bapa kau belum pulang.” Bibik Zenda seakan-akan tahu gusar yang terlukis pada wajahku. Bibik Zenda yang membantu menguruskan kehidupan kami sehari-hari. Sejak aku kecil atau sebelum aku lahir, aku tidak pasti. Tapi perempuan tua ini sememangnya paling arif tentang keluargaku. Pada wajahku barangkali terconteng gusar yang tak terpadam. Tapi pada wajahnya, tergantung kesedihan dan kasihan yang tidak terperi untukku.

*****

‘Semalam Adalah Kenangan Hari Ini, dan Esok Adalah Mimpi Hari Ini.’

Mataku bersetentang dengan kain rentang yang memetik kata-kata daripada Kahlil Gibran itu. Kakiku mahu sahaja berpatah ke belakang. Aku tidak begitu banyak berfikir saat ibu memilih untuk tinggal bersama kekasihnya. Mujur tetangga tidak sibuk menyelak kain orang sehingga ternampak isinya. Aku juga bukan yang mudah mendengar kata-kata orang. Sudah dua hari bapa pergi. Saranan Bibik Zenda akhirnya membawa aku ke Kedai Semalam.

Bapa ditemui di belakang rumahku dengan yang tinggal hanyalah jasadnya sahaja. Itupun jasadnya berlumuran darah yang hampir kering. Masih berdesing di telingaku mengingatkan jeritan Bibik Zenda pagi semalam.  Bapa ditemui dalam keadaan kedua-dua matanya tiada dengan kesan koyak yang dalam. Aku melihat kelibat ibu yang turut datang ke rumah selepas jeritan Bibik Zenda. Dia melihat jasad bapa seperti jiran-jiran yang lain, kemudian hilang dalam kekecohan itu. Hari itu juga jasad bapa diuruskan

Sedar-sedar bungkusan semalam-semalam milik bapa sudah di tanganku. Aku kini di luar kedai. Barangkali penjaga kaunter bayaran tadi juga berfikiran seperti aku ketika melihat wajah-wajah bingung manusia yang membeli besok; ‘Kalian terlewat!’ Aku melangut ke dada langit dan masih lagi tidak percaya bahawa aku bakal melihat takdir manusia lain. Takdir bapaku yang mati tanpa sepasang mata!

Aku membuka bungkusan semalam-semalam milik bapa di atas katil di bilik. Aku masih belum mahu memberitahu Bibik Zenda tentang pembelian semalam-semalam bapa.  Ia sebuah glob kaca lut sinar. Terketar-ketar tanganku mengangkatnya kerana aku tahu, tidak sama menjual dan membelinya. Ada ukiran halus dengan tulisan ‘Namin’ (nama bapaku) di sebelah punat segera glob kaca lut sinar itu. Aku menggunakan jari telunjuk untuk menekannya, namun ia seakan-akan mahu menentang tuan. Ini pengalaman pertama dan mungkin yang terakhir. Rintik peluh mula merembes keluar dari dahiku. Begitu banyak kebarangkalian di benak hampir membuatkan aku pitam. TETTT.

Aku memaksa mata dan tubuhku untuk terjaga. Aku di atas katil dalam sebuah kamar bersaiz sederhana. Ada seorang wanita dengan rambut separas bahu duduk membelakangiku. Dia berkebaya merah dan berkain batik. Bahunya terhinjut. Baru aku sedar dia menangis. Ada suara lelaki yang membentak-bentak entah marahkan apa atau siapa di luar kamar. Aku senyap-senyap menyusup ke bawah katil. Suara itu makin mendekat dan pintu terbuka dengan kasar. “Celaka kau. Sanggup kau curangi aku dengan si Namin ini?”

Lelaki kasar itu jiranku. Pak Margio (bukan Lelaki Harimau) yang baru seminggu berpindah dari negara seberang, kini tinggal bersebelahan dengan aku dan bapa. Baru aku sedar perempuan berkebaya merah itu adalah isterinya. Tambah sinematik lagi apabila aku lihat bapa menyusul di belakang. Dia cuba menghalang tangan sasa Pak Margio daripada melekat di pipi atau mana-mana bahagian tubuh isterinya itu. Aku keluar dari lokasi persembunyianku. Ketiga-tiga mereka bagai terlupa skrip di pentas.

Perasaanku ketika itu benar-benar kosong. Aku meminta maaf, lalu keluar dari rumah Pak Margio dan pulang ke rumahku. Aku tahu pada saat mereka terdiam melihat aku yang datang entah dari mana-mana itu, aku mempunyai kuasa untuk mengubah takdir. Contohnya, aku menyelamatkan sepasang mata bapa dan dia akan muncul di kedai menguruskan Besok seperti kebiasaannya. Tetapi daripada berasa kekosongan, aku tiba-tiba keletihan. Aku tidak tahu kepenatan itu datangnya daripada apa dan kenapa? Sesuatu yang pasti ialah, biarkanlah takdir menguruskan bapa!


Pengarang :