GLOBAL

Pensyarah di Britain teruskan mogok bantah pindaan bayaran pencen

LONDON 13 MAC: Pensyarah dari 65 universiti di Britain melancarkan mogok membantah rancangan pindaan bayaran pencen memasuki minggu ke empat semalam, dengan sedikit tanda kompromi.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Persatuan Universiti-Universiti United Kingdom (UUK), sebuah pertubuhan institusi pendidikan tinggi Britain mencadangkan pada Januari lalu perubahan dari pencen pendapatan terjamin kepada skim yang tertakluk kepada turun naik pasaran saham.

UUK berpandangan perubahan itu bakal membantu mengurangkan defisit pencen kepada lebih STG6 bilion (RM32.40 bilion).

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan Kesatuan Universiti dan Kolej (UCU) kerana ia menyebabkan pensyarah kehilangan pendapatan hampir STG10,000 (RM54,290.15) setahun dan dianggap pelan persaraan paling buruk.

“Ia bukan hanya soal wang, jika perubahan ini diluluskan mereka yang merancang untuk menceburi bidang akademik akan berfikir dua kali,” kata profesor bahasa di Universiti London’s Birkbeck, Akane Kawakami.

Kawakami berkata, mereka dibayar rendah dan sebahagian daripada tarikan kerjaya akademik adalah kemungkinan untuk mendapatkan pelan persaraan yang bagus.

“Jika kami melepaskan peluang ini, lebih ramai akan beralih kepada sektor lain,” katanya.

Minggu lalu, UCU mengumumkan lanjutan 14 hari mogok bertujuan untuk mengelak minggu peperiksaan antara April dan Jun, jika tiada tanda-tanda resolusi untuk mengadakan perbincangan.

SUMBER: AFP


Pengarang :