NASIONAL

Peratusan mengundi tinggi jalan akhir tewaskan penipuan pilihan raya

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 21 MAC: Orang ramai disaran tidak melepaskan peluang untuk membuang undi beramai-ramai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang bakal berlangsung nanti.

Bekas Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah, berkata, hal ini berikutan hanya peratusan keluar mengundi yang amat tinggi sahaja mampu menewaskan rancangan penipuan pilihan raya dirancang pihak berkepentingan.

“Ini adalah jalan terakhir untuk kita boleh teruskan perjuangan kerana kita mahukan pilihan raya bersih dan adil.

“Pada PRU-13 kita tidak dapat pilihan raya bersih dan adil tetapi kita dapat kalahkan penipuan dengan keluar mengundi, jadi jangan tidak mengundi,” katanya pada sidang media Bersih 2.0 di pejabatnya di Pusat Perniagaan 8 Avenue di sini, hari ini.

Jelasnya, tindakan tidak keluar mengundi bermakna menyokong dan menyerahkan kuasa kepada penipuan pilihan raya.

Katanya, pada PRU-13 lalu, Bersih 2.0 berjaya mengesan beberapa penipuan pilihan raya namun ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tanpa alasan kukuh.

Terdahulu, sidang media yang diadakan itu turut dihadiri Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya, Hannah Yeoh dan ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar.

=EZY=


Pengarang :