NASIONAL

Perbicaraan PAKATAN-ROS 5 April ini

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 MAC: Mahkamah Tinggi menetapkan 5 April ini bagi perbicaraan permohonan Pakatan Harapan (PAKATAN) supaya Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM atau ROS) menjawab permohonan mendaftarkan gabungan itu.

Ketua Biro Undang-Undang PAKATAN, Gobind Singh Deo berkata, gabungan itu sebagai pemohon, sementara ROS selaku responden dipanggil untuk pengurusan kes, di hadapan Yang Arif Datuk Azizah Nawawi, hari ini.

“Pemohon memohon satu tarikh perbicaraan awal memandangkan pilihan raya umum kian menjelang dan Parlimen akan bersidang sehingga 5 April ini.

“Mahkamah menetapkan 5 April 2018, pada jam 3 petang untuk bicara,” katanya.

Pemohon diwakili Michelle Ng, manakala Shamsul Bolhassan dari Kamar Peguam Negara hadir bagi pihak responden.

PAKATAN memfailkan permohonan berkenaan, pada 21 Februari lalu melalui Tetuan Gobind Singh Deo & Co.

PAKATAN menamakan Setiausaha Jawatankuasa Penaja, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Abang Ahmad Kerdee Abang Masagus dan Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Shahruddin Md Salleh sebagai pemohon, manakala ROS sebagai responden.

Mereka memohon mendapatkan kebenaran bagi perisytiharan tindakan ROS tidak mendaftarkan PAKATAN sebagai pertubuhan berdaftar bercanggah dengan kewajipan statutori badan itu dan harapan sah mereka (pemohon).


Pengarang :