SELANGOR

Perhebatkan usaha terjemahan jurnal ke bahasa asing

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Penerbitan artikel jurnal daripada bahasa Malaysia kepada bahasa asing dianggap signifikan dan harus dipertingkatkan, lebih-lebih lagi jika penulisan itu berkaitan Islam dan Warisan, kata Timbalan Ketua Pegawai Operasi KUISCELL, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid.

Katanya, negara perlu aktif menggerakkan aktiviti penterjemahan dengan lebih pantas memandangkan karya penterjemahan yang dihasilkan buat masa ini agak perlahan berbanding negara maju yang lain.

“Pelan tindakan ini wajar dilaksanakan supaya kita dapat menggalakkan lebih ramai pembaca dengan menjadikan jurnal sebagai sumber rujukan.

“Tambah pula, selain menarik pembaca yang bukan sahaja terdiri daripada golongan tempatan, kita mahu mengetengahkan karya penulis ke seantero dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Jurnal Hal Ehwal dan Warisan Selangor, di Foyer SUK, di sini, baru-baru ini.

Menurut Don Daniyal, salah satu strategi yang juga harus diberi perhatian serius adalah melalui penterjemahan daripada bahasa Inggeris kepada bahasa Perancis.

“Kalau kita terus menghasilkan karya dalam satu bahasa sahaja tanpa ada inisiatif untuk menterjemah penulisan tersebut, negara akan berada pada satu tahap yang ditakuk lama.

“Sebaliknya, penulis artikel Islam dan warisan memerlukan platform untuk mengembangkan kredibiliti penulisan mereka supaya orang ramai berminat untuk mengkaji khazanah warisan dan peninggalan negara.

“Misalnya, tengkolok, butang baju melayu, poket baju melayu, tarian zapin dan sebagainya,” katanya.

Pada masa sama kata Don Daniyal, penterjemahan pula mestilah menepati citarasa pembaca yang segelintirnya mempunyai latar belakang budaya dan pendidikan berbeza serta menekankan aspek penggunaan gaya bahasa yang betul dan berkualiti.

Terdahulu, KUISCELL adalah peneraju industri penerbitan yang menyusun atur, mereka dan menerbit Jurnal Hal Ehwal dan Warisan Selangor selain berperanan menyalurkan pengetahuan pendidikan dan informasi Islamik melalui buku-buku serta memartabatkan pengetahuan aqli dan naqli.

=EZY=


Pengarang :