BERITA UTAMANASIONAL

Persempadanan baru: BN digesa tidak salah guna kuasa majoriti

OLEH NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 5 MAC: Barisan Nasional digesa tidak menggunakan kuasa majoriti dengan sewenang-wenangnya bagi memaksa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan persempadanan baru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal ini berikutan langkah menggunakan persempadanan semula pada PRU-14 nanti merupakan sesuatu yang bercanggah dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sesi kali ini untuk meluluskan cadangan persempadanan semula. Bagaimanapun kita telah membuat bantahan di mahkamah dan kita di dalam pendengaran awam,” katanya.

Beliau yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, berkata demikian kepada media selepas menghadiri Istiadat Pembukaan Penggal Keenam Majlis Parlimen Yang Ke-13 2018 di Bangunan Parlimen di sini, hari ini.

Jelasnya, pada persidangan kali ini beliau dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan akan memainkan peranan masing-masing untuk membahaskan usul persempadanan semula itu nanti.

Terdahulu, proses cadangan persempadanan semula oleh SPR terpaksa ditunda beberapa kali apabila Kerajaan Negeri berjaya mengheret SPR ke mahkamah.

Kerajaan Negeri mengambil langkah memfailkan bantahan di mahkamah setelah mendapati cadangan persempadanan semula oleh SPR dipercayai untuk memberi kelebihan kepada Umno dan BN dalam PRU-14.

=EZY=


Pengarang :