BERITA UTAMASELANGOR

Persempadanan semula talian hayat survival Umno-BN PRU-14

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 28 MAC: Proses persempadan baru yang bakal dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertujuan menyelamatkan pentadbiran Umno Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum 14 (PRU14), depan.

Ahli Parlimen Gombak, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sejarah membuktikan proses persempadanan terdahulu membolehkan pentadbiran Umno BN terus mengekalkan kuasa sehingga kini.

Beliau merujuk perolehan undi yang diraih Umno BN pada Pilihan Raya Umum tahun 1999 yang menyaksikan parti itu menang undi popular sebanyak 63.9 peratus dan berjaya memenangi peratusan 76.8 peratus kerusi Parlimen, selepas persempadanan diluluskan.

“Namun selepas persempadanan baru dibuat pada 2003, biarpun undi popular Barisan Nasional merosot sebanyak 0.1 peratus, tetapi peratusan kerusi yang dimenangi meningkat pada kadar tidak munasabah iaitu 90.41 peratus pada PRU 2004.

“Sementara pada PRU 2013, Pakatan yang berjaya meraih 56 peratus undi popular dinafikan kemenangan kerana proses persempadanan yang tidak adil, ekoran persempadanan sebelumnya menyebabkan Barisan Nasional mencuri kemenangan daripada Pakatan.

“Kalau sistem pilihan raya di bawah SPR ini telus, Pakatan sudah mentadbir Kerajaan Persekutuan. Maka menjelang PRU 14 nampaknya proses persempadanan ini semakin sengit kerana nyawa Umno sudah semakin hujung.

“Justeru untuk jaminan survival, mereka gunakan pelbagai agensi termasuk SPR untuk memutarbelitkan dan melakukan perompakan pada PRU ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi perbahasan persempadanan semula di Dewan Rakyat, petang ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan pembentangan laporan persempadan semula untuk kawasan pilihanraya di Semenanjung Malaysia, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Ia berlangsung ketika sidang Dewan Rakyat bersambung semula selepas berehat kira-kira 20 minit ekoran kekecohan yang berlaku melibatkan bantahan pimpinan Ahli Parlimen Pembangkang, sebelum itu.

Bagaimanapun Mohamed Azmin berkata, tindakan Speaker Dewan, Tan Sri Pandikar Amin membenarkan proses pembentangan laporan persempadan baru oleh Perdana Menteri, amat meragukan.

“Bagaimana Datuk Yang Dipertua boleh membenarkan usul ini dibentangkan di Parlimen kerana kita maklum bahawa pilihan raya yang bebas adalah puncak dalam sistem demokrasi negara.

“Tetapi proses persempadanan (menyebabkan), hak rakyat untuk tentukan kerajaan telah dinafikan,” katanya.

=EZY=


Pengarang :