SELANGOR

Pertandingan Kitar Semula MBSA-F&N masuki tahun ke-12

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 MAC: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terus berkolaborasi dengan F&N Beverage Marketing (F&N) dalam penganjuran Pertandingan Kitar Semula Peringkat Sekolah 2018 yang kini memasuki tahun ke-12.

Datuk Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, program yang bertujuan memupuk semangat cintakan alam sekitar dalam kalangan pelajar itu menampilkan kelainan apabila MBSA turut memperkenalkan kategori baru iaitu Anugerah Khas Kutipan e-waste.

“Anugerah Khas Kutipan e-waste merujuk kepada kutipan sisa barangan elektrik dan elektronik terpakai.

“Kategori baru ini akan dinilai melalui kejayaan mereka mengumpul bahan kitar semula e-waste terberat dan ia terbuka kepada sekolah rendah dan menengah sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kempen Kitar Semula peringkat Sekolah MBSA 2018 di Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, hari ini.

Ahmad Zaharin berkata, tahun ini turut dipertandingkan acara sampingan iaitu pertandingan laman kitar semula sekolah untuk sekolah rendah dan menengah.

“Oleh kerana kesungguhan ditunjukkan para guru dalam menyampaikan matlamat pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar, MBSA berbesar hati memperkenalkan satu lagi anugerah khas.

“Anugerah Khas Guru Cemerlang diperkenalkan dengan tawaran hadiah RM1,000 bagi kategori sekolah rendah dan menengah, ia akan diberikan kepada guru yang sudah menyertai pertandingan ini sekurang-kurangnya tiga tahun berturut serta pernah memenangi anugerah sebelum ini,” katanya.

Ahmad Zaharin berkata, MBSA turut meneruskan anugerah sedia ada yang melibatkan tiga kategori iaitu sekolah rendah, sekolah menengah dan pra sekolah yang mana setiap pelajar perlu mengumpulkan sebanyak mungkin barangan kitar semula seperti kertas, plastik dan aluminum.

“Tujuan utama kempen ini diteruskan untuk mendidik masyarakat terutamanya pelajar dan golongan muda terhadap kepentingan amalan kitar semula dalam rutin harian,” katanya.

F&N Beverage Marketing terus komited bekerjasama dengan MBSA setiap tahun dengan sumbangan RM28,200 bagi menjayakan program tersebut.

Selain itu, MBSA turut menerima sumbangan dari Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd iaitu wang tunai RM1,500 untuk Hadiah Anugerah Khas Tetra Pak Tertinggi.

Tahun lalu, pertandingan itu berjaya mengumpul berat kutipan barangan kitar semula sekitar 143,946.2 kilogram (kg) melibatkan enam tadika, 20 sekolah menengah dan 17 sekolah rendah berbanding 121,321.2 pada 2016.

Ahmad Zaharin berkata, MBSA mengharapkan penyertaan pada tahun ini akan terus meningkat dan mendapat sambutan menggalakan daripada sekolah dan tadika.


Pengarang :