PBTSELANGOR

Pertandingan mewarna Kempen 60+ Earth Hour tawar RM2,000

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 13 MAC: Pertandingan mewarna sempena Kempen 60+ Earth Hour peringkat Shah Alam yang bakal diadakan pada 24 Mac (Sabtu), menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM2,000 kepada pemenang.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu bermula pada jam 8.30 malam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam dengan penyertaan adalah percuma.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, ia merangkumi tiga kategori umur iaitu A (empat hingga enam tahun), B (tujuh hingga 10 tahun) dan C (11 hingga 12 tahun).

“Ini adalah inisiatif MBSA bagi memupuk kesedaran dari peringkat awal kepada kanak-kanak mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta pemanasan global yang semakin meruncing. Ia juga memberi peluang kepada kanak-kanak menunjukkan bakat mereka dalam seni mewarna dan kreatif.

“Program ini dilihat sebagai komitmen berterusan pihak Majlis bagi mendidik dan menyedarkan orang ramai bahawa semua lapisan masyarakat perlu berganding bahu dan bertanggungjawab mengurangkan aktiviti pemanasan global melalui penjimatan tenaga elektrik,” katanya sambil menambah ia adalah salah satu pengisian program bagi sambutan kempen berkenaan.

Shahrin berkata, para pelajar khususnya pelajar tadika dan sekolah dijemput untuk menyertai pertandingan itu dan mereka yang berminat boleh melayari laman sesawang MBSA di www.mbsa.gov.my, Facebook MBSA iaitu www.facebook.com/sacitycouncil atau mengambil borang penyertaan di Tingkat G, Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, Wisma MBSA.

“Borang hendaklah diserahkan semula pada atau sebelum 22 Mac 2018 (Khamis), sebelum jam 5 petang dengan penyertaan terhad kepada 100 peserta sahaja.

“Orang ramai juga boleh mendaftar secara ‘walk in’ di Kaunter Pendaftaran Khemah Mewarna semasa Sambutan 60+ Earth Hour Peringkat Shah Alam 2018 sebelum jam 7 petang,” katanya.


Pengarang :