PENDIDIKANSELANGOR

Pesta Buku Selangor 2018 himpun karakter kartun majalah Bekazon

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 23 MAC: Pesta Buku Selangor 2018 yang memasuki penganjuran kali ke-13 bakal menghimpunkan pelbagai karakter kartun daripada koleksi majalah kartun dan humor terbitan Bekazon di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), bermula 29 Mac hingga 8 April ini.

Ketua Bahagian Gerakan Membaca Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, Norkhairul Nizam M Sadon berkata, karakter berkenaan akan ditampilkan dalam satu perkampungan kartun daripada kartunis majalah terkenal sekitar tahun 80an hingga 90an seperti Ujang, Apo dan Gempak.

“Pelbagai karakter akan dihimpunkan seperti Tandori Payat, Joni dan Cupin. Di samping itu, pengunjung berpeluang memenangi hadiah misteri dengan menyertai peraduan ‘Standee Selfie’ daripada Bekazon dan Awang Khenit secara kreatif.

“Terdapat juga cabutan bertuah RM500 setiap hari serta penampilan istimewa maskot Didi & Friends, Ejen Ali, Mat Dan, Aisyah, Lagenda Pelukis Komik Otai Ujang dan sesi tadabbur bersama Tuan Fazrul,” katanya kepada SelangorKini.

Bertemakan ‘membaca mencetus kreativiti’, ia bertujuan melahirkan budaya membaca dalam pelbagai aspek termasuk menonjolkan kreativiti kepada pengunjung dan peserta.

Norkhairul berkata, pihaknya mensasarkan pengunjung yang hadir dalam kalangan terbuka dan berkeluarga kerana golongan itu dilihat antara pengunjung wajib setiap kali berlangsungnya pesta buku.

“Sebelum ini, kita memfokuskan kepada golongan pelajar, namun pada kali ini kelebihan diberikan kepada golongan berkeluarga yang menjadikannya sebagai ruang untuk aktiviti santai.

“Kami juga mengadakan pameran bahan bacaan bagi golongan orang kurang upaya (OKU) cacat penglihatan dengan kerjasama KL Braille Resources sebagai salah satu daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.

Pesta Buku Selangor 2018 pada kali ini mensasarkan penyertaan 100 penerbit buku termasuk penerbit buku antarabangsa dari Singapura dan United Kingdom.

Ia turut mendapat kerjasama daripada rakan penerbit seperti Kumpulan Karangkraf, Ana Muslim, dan Bekazon.

Masuk: Percuma
Waktu berlangsung:
Isnin – Khamis: 10 pagi hingga 9 malam
Jumaat – Ahad: 10 pagi hingga 11 malam


Pengarang :