SUKANKINI

Piala AFC: Longhi lega JDT menang

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 MAC: Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Raul Longhi, berpuas hati dengan persembahan pemainnya ketika mengalahkan Tampines Rovers dalam aksi Piala AFC 2018, di Johor Bahru, semalam.

Walaupun dicabar hebat kelab dari Singapura, JDT tidak mudah goyah dan pengendali dari Argentina itu gembira kerana pemain memberikan aksi mengkagumkan dalam perlawanan itu.

“Apabila Tampines Rovers menjaringkan gol, perlawanan mula menjadi semakin sukar dan pemerhatian saya, kami mempunyai dua hingga tiga peluang untuk mendapat jaringan, namun apa paling penting cuba memenangi perlawanan ini.

“Semua pemain bermain sehabis baik dan menjalankan tanggungjawab masing-masing ketika di atas padang. Tiga mata adalah amat penting bagi kami,” katanya melalui laman Facebook JOHOR Southern Tigers.

Beliau berkata, pertukaran formasi dilakukan, pada separuh masa kedua daripada 4-3-3 kepada 4-2-3-1 bagi mengimbangi pasukan dan melakukan penggiliran pemain.

Ini kerana, katanya, JDT mempunyai satu lagi perlawanan bertemu UiTM bagi saingan Piala FA dalam masa lebih kurang 72 jam.

“Saya tidak mahu memperkatakan berkenaan perlawanan AFC akan datang kerana apa paling penting perlawanan bertemu UiTM selepas ini.

“Buat masa sekarang, beberapa pemain perlu menjalani proses pemulihan untuk persiapan perlawanan bertemu UiTM,” katanya berhubung perlawanan, pada Sabtu ini.

Dalam perlawanan itu, JDT mengalahkan Tampines Rovers 2-1 hasil jaringan Safawi Rasid dan Hazwan Bakri.

Keputusan itu membuka peluang JDT mara ke saingan seterusnya dan selepas empat perlawanan berkongsi tujuh mata bersama Song Lam Nghe An serta Persija Jakarta.


Pengarang :