SUKANKINI

Piala FA: PKNS FC melangkah bergaya ke suku akhir

SHAH ALAM 18 MAC: PKNS FC melangkah bergaya apabila berjaya merebut tempat ke peringkat suku akhir saingan Piala FA 2018 selepas ‘membelasah’ Kelantan 4-1 di Stadium Shah Alam malam tadi.

Anak buah K. Rajagobal terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit ke-17 apabila Romel Oswaldo mudah menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pemain Kelantan, S. Veenod di dalam kotak penalti.

Meskipun pasukan Kelantan cuba bangkit dengan mencipta banyak peluang, namun PKNS FC berjaya menambah jaringan pada minit ke-43 apabila Mahali Jasuli mudah menolak ke jaringan ketika berlaku sedikit kekalutan di hadapan gawang Kelantan.

Bersambung babak kedua, PKNS FC terus memburu gol dan hasilnya bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali mudah merembat hantaran silang dari sebelah kiri gawang menewaskan penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat pada minit ke-60.

Rafeal Ramazotti terus menambah derita anak buah Yusri Che Lah apabila mudah merembat masuk bola ke gawang Kelantan pada minit ke-67.

Pasukan Kelantan berjaya mendapatkan gol saguhati menerusi sepakan penalti yang disempurnakan penyerang sensasi mereka, Mohamad Ghaddar pada masa kecederaan.


Pengarang :