SUKANKINI

Piala Sultan Azlan Shah: Argentina hampakan Malaysia

OLEH HAFIZAN TAIB

IPOH, 11 MAC: Malaysia gagal menyaingi Argentina apabila tewas 2 – 3 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga pada Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah ke 27 di sini, semalam.

Pasukan tuan rumah yang turun dengan semangat mengulangi kemenangan 2 – 1 ke atas juara Olimpik itu dalam perlawanan awal bagaimanapun dicabar hebat dan gagal mengulanginya.

Argentina memberi amaran seawal minit pertama dengan Juan Lopez membuat jaringan melepasi pertahahan Malaysia.

Gonzalo Peillat (m11) mengambil giliran selepas itu bagi meletakkan Argentina selesa mendahului 2 – 0 pada suku pertama.

Malaysia memberi cabaran pada suku kedua apabila bangkit mendapatkan gol melalui Joel Van Huizen (m24).

Ia menaikkan semangat tuan rumah dan percubaan Faizal Shaari dengan pukulan sudut penalti berhasil pasa minit ke 27 bagi menyamakan kedudukan.

Bagaimanapun, Argentina kembali ke depan pada suku keempat dengan gol Pedro Ibarra (m49) dan ia kekal hingga tamat perlawanan.

Sementara itu, India menundukkan Ireland 4 – 1 dalam perlawanan penentuan tempat kelima.

Pasukan itu membuka jaringan pada suku kedua menerusi Shilanand Lakra diikuti dua gol Varun Kumar selepas itu.

Gurjant Singh mengukuhkan kedudukan India dengan gol keempat India namun Julian Dale mengurangkan jurang untuk gol saguhati Ireland.


Pengarang :