SELANGOR

Pili air awam di 11 kawasan diaktifkan bantu pengguna

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 8 MAC: Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) telah mengaktifkan pili air awam di 11 lokasi terpilih sebagai alternatif mendapatkan bekalan air ekoran gangguan bekalan air.

Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi SYABAS, Abdul Raof Ahmad berkata, inisiatif itu bagi memudahkan pengguna di kawasan terjejas terus mendapatkan bekalan air sepanjang tempoh gangguan.

“Pili awam berkenaan beroperasi 24 jam sebagai tambahan kepada khidmat penghantaran air menggunakan lori tangki.

“11 pili awam diaktifkan melibatkan tiga di kawasan Petaling, dua di Klang, empat di Kuala Lumpur dan dua lagi kawasan di Gombak,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu sembilan Pusat Khidmat Setempat turut beroperasi 24 jam hingga bekalan pulih sepenuhnya.

Pada masa sama, gangguan bekalan air dijangka pulih secara berperingkat selepas kerja baik pulih paip pecah di Loji Rawatan Air SSP3 siap dibaiki.

Tempoh masa pemulihan bagi kawasan Kuala Langat dan Hulu Selangor dijangka pulih jam 6.00 pagi pada 10 Mac.

Manakala di Petaling, Klang, Shah Alam, Gombak daan Kuala Lumpur dijangka pulih sepenuhnya pada jam 6.00 petang, 11 Mac ini.

=EZY=


Pengarang :