SELANGOR

Pilihan rakyat tepat 10 tahun dulu, seru kekalkan pentadbiran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 MAC: Rakyat Selangor nyata bijak dan berani membuat anjakan paradigma apabila berani menukar pentadbiran Kerajaan Negeri pada 10 tahun lalu.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari mengucapkan tahniah kepada rakyat negeri atas keberanian itu sekaligus membuat pilihan tepat.

“Jika dulu ramai yang menganggap rakyat Selangor menggadai masa depan kerana memilih kita. Malahan Barisan Nasional (BN), menganggap masa depan rakyat akan gelap, kusam dan kelam dan pentadbiran akan runtuh.

“Tetapi, selepas 10 tahun berlalu, tahniah saya ucapkan pada rakyat Selangor kerana membuat pilihan tepat dan berani melakukan perubahan.

“Buktinya, ia dapat melihat pentadbiran kini, bukan sahaja negeri paling maju tetapi rakyat turut beruntung dengan pelbagai inisiatif yang ditawarkan kepada rakyat,” katanya di Karnival Himpunan Rakyat, di Stadium Malawati, di sini, semalam.

Pada masa sama, Amirudin berkata Kerajaan Negeri sudah membelanjakan sejumlah RM21 juta sejak penubuhan Penggerak Belia Tempatan (Pebt), 2009 bagi mengadakan pelbagai program untuk generasi terbabit.

Katanya, sebanyak 700 program sudah diadakan dan jumlah itu melebihi sasaran yang diberikan.

“Begitu juga dengan program keusahawanan menerusi bantuan Hijrah Selangor, seramai 51,224 usahawan dengan nilai peruntukan sebanyak RM368 juta sudah menerima manfaat itu.

“Ini satu-satunya negeri yang menawarkan inisiatif untuk rakyat. Oleh itu, saya menyeru kepada semua untuk kita bersama mengekalkan kerajaan yang sedia ada. Sokong kepada pentadbiran ini dan pastikan Selangor untuk terus menjadi peneraju,” katanya.

=EZY=


Pengarang :