SUKANKINI

PKNS FC tewaskan Kelantan 1-0

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 9 MAC: Jaringan tunggal pemain import, Faris Ramli sudah cukup memberikan kemenangan bermakna buat PKNS FC apabila menewaskan Kelantan 1-0 dalam aksi kelima Unifi Liga Super Malaysia.

Aksi seimbang dipamerkan kedua-dua pasukan pada awal permainan yang berlangsung di Stadium Shah Alam.

PKNS FC terlebih dahulu menguji gawang Kelantan menerusi rembatan Rafael Ramazoti pada minit ke-9 namun, berjaya dihalang penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat.

Selang empat minit kemudian, percubaan Faris Ramli pula terkena tiang walaupun Khairul Fahmi terlebih dahulu sudah tertewas.

Masuk minit ke-20 tampanan Mahali Jasuli pula meliar dari gawang gol Kelantan selepas melakukan gerakan satu-dua bersama Ramazoti.

Seminit kemudian, giliran Kelantan menguji gawang PKNS FC menerusi tandukan lemah Bruno Lopes yang berjaya ditangkap penjaga gol, Shahril Saari.

Badhri Razi hampir memecah kebuntuan buat Kelantan pada minit ke-29 tetapi beliau melepaskan rembatan liar yang gagal menepati sasaran.

Jaringan dinantikan akhirnya menjelma menerusi Faris Ramli pada minit ke-40 bagi memberikan kelebihan PKNS FC mendahului Kelantan 1-0.

Bermula daripada hantaran lintang Jonathan Acosta, Faris yang tidak dikawal terlebih dahulu menanduk bola ke gawang tetapi berjaya ditepis keluar Khairul Fahmi sebelum beliau kembali menolak bola muntah bagi memastikan pasukan tuan rumah di hadapan.

Mohamad Ghaddar cuba membalas menerusi satu serangan pantas seminit kemudian tetapi tandukkannya berjaya dikawal Shahril.

Masuk babak kedua, Kelantan dilihat lebih banyak mengasak ke gawang PKNS FC bagi mencari gol penyamaan tetapi Red Ants kental bertahan.

Masuk minit ke-87, Kelantan cuba mendapatkan sepakan penalti selepas bola terkena tangan pertahanan PKNS FC tetapi sekadar memperoleh sepakan percuma kerana ia berlaku di luar kotak tetapi ia yang berjaya dihalang benteng pertahanan.

Kedudukan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dan PKNS FC melonjak ke tangga pertama sekurang-kurangnya untuk tempoh 24 jam dengan mengutip 10 mata sementara Kelantan kekal dengan empat mata.

Kredit Foto:PKNS FC Official


Pengarang :