EKONOMISELANGOR

PKNS pacu usahawan menerusi program 5U

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 23 MAC: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) terus komited memacu potensi usahawan dalam melebarkan sayap perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Paduka Dr Noraida Mohd Yusof berkata, ia dibuktikan menerusi perjanjian yang dimeterai tiga syarikat yang terpilih dalam Program Pemantapan Usahawan (5U).

Katanya, PKNS memberi sokongan dalam aspek kemahiran pengurusan bisnes, kewangan dan peluang perniagaan menerusi program yang julung kali diadakan itu.

“PKNS membimbing syarikat ini melalui pengambilalihan saham berdasarkan kriteria dan syarat yang ditetapkan.

“Pembabitan PKNS hanya selama lima tahun bagi setiap syarikat dan selepas tempoh itu kami akan menjual keseluruhan saham yang dipegang kepada usahawan pada harga ‘Net Tangible Assets’ (NTA) atau jika dipersetujui kedua pihak, maka PKNS akan meneruskan pegangan saham itu,” katanya ketika ditemui di Majlis Menandatangi Perjanjian Program 5U, di Dewan Aster, Bangunan PKNS, di sini, hari ini.

Noraida berkata, PKNS menerima 68 permohonan syarikat bagi penyertaan program terbabit.

“Syarikat ini dinilai secara telus menerusi beberapa proses bermula diperingkat saringan temuduga dan ‘due diligence’ sebelum disenarai pendek,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif terbabit dapat melonjakkan lagi perniagaan usahawan supaya mampu bersaing di peringkat lebih tinggi di arena tempatan juga ke peringkat antarabangsa.

“Ia juga membolehkan syarikat ini tersenarai di bursa saham dengan perkhidmatan dan produk berkualiti tinggi yang popular dalam kalangan perniagaan.

“Kita mahu, mereka mampu memastikan syarikat terus berkembang tanpa bimbingan PKNS selepas tempoh bimbingan tamat,” katanya.


Pengarang :