NASIONAL

PLUS: Tiada resit tol bercetak bermula Isnin depan

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 15 MAC: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tidak akan mengeluarkan resit tol bercetak di semua plaza tol di lebuh raya kendaliannya di seluruh negara, bermula Isnin ini.

Ketua Pegawai Operasinya, Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pendekatan itu diambil sebagai salah satu usaha mengelak kesesakan apabila kenderaan keluar dari lebuh raya.

“Matlamat pelaksanaan transaksi tol secara elektronik sepenuhnya lebih pantas dan mudah, sukar dicapai jika masih terdapat sesetengah pengguna lebih raya masih mahu mencetak resit bagi perjalanan mereka.

“Lazimnya pengguna akan beratur di lorong paling kiri (lorong pelbagai kelas) untuk mendapatkannya dan tindakan ini menyebabkan kesesakan di situ serta akan mengganggu perjalanan pengguna di lorong berhampiran,” katanya dalam kenyataan media.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengguna boleh mencetak resit tol mereka secara dalam talian dengan mendaftarkan kad di portal PLUSMiles (www.plusmiles.com.my) atau Touch n Go (www.touchngo.com.my).

Selepas mendaftar, katanya, pengguna boleh mengakses rekod penggunaan kad elektronik mereka seperti butiran transaksi, termasuk bayaran lain, penyata transaksi baki kad dan tarikh luput kad.

Bagi operator kenderaan berat atau komersil pula, pengguna boleh mendapatkan penyata transaksi kenderaan dengan lebih mudah apabila mendaftar menerusi program PLUSTrack.

“PLUSTrack adalah program kesetiaan keahlian khusus untuk kenderaan berat dan komersil ditawarkan PLUS.

“Menerusinya, operator kenderaan berat dan komersil boleh mendapatkan penyata transaksi serta menyemak pergerakan perjalanan kenderaan mereka di lebuh raya secara dalam talian melalui www.touchngo.com.my ,” katanya.


Pengarang :