NASIONAL

PM dihadkan dua penggal, hapus tol berperingkat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 9 MAC: Pakatan Harapan (PAKATAN) akan mengambil langkah mengehadkan pemegang jawatan perdana menteri kepada dua penggal jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Selain itu, PAKATAN juga mengambil langkah untuk menghapuskan tol secara berperingkat dan mengekalkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Tiga janji itu antara 14 janji utama yang bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun pertama pemerintahan PAKATAN.

Janji lain adalah memacukan ekonomi dan daya saing negara, satu juta pekerjaan baru berkualiti, satu juta perumahan mampu milik dan mampu sewa (dua penggal), pendidikan percuma untuk institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), gaji minima RM1,500 secara berperingkat dan mereformasi institusi-institusi negara.

PAKATAN juga tekad untuk membersihkan rasuah, memperkasakan perkhidmatan awam, desentralisasi kuasa kepada Sabah dan Sarawak, membina Malaysia inklusif, moderat dan gemilang.

Dalam tempoh lima tahun pemerintahan, PAKATAN juga akan mengutamakan pekerja tempatan dan mengurangkan dua juta pekerja asing secara berperingkat.

Sebelum itu, manifesto PAKATAN yang bertemakan ‘Membina Negara, Memenuhi Harapan’ dilancarkan dengan gilang gemilang di Ideal Convention Centre (IDCC), di sini, malam tadi.

Majlis itu dihadiri, Pengerusi PAKATAN, Tun Dr Mahathir Mohamad; Presiden PAKATAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Naib Presiden PAKATAN yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.


Pengarang :