SELANGOR

Polis dan Kerajaan gagal permohonan rayuan pampasan keluarga Aminulrasyid

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Mahkamah Persekutuan menolak rayuan polis dan Kerajaan berhubung kematian remaja Aminulrasyid Amzah pada 2010 dan mengekalkan jumlah ganti rugi RM114,800 yang diberikan kepada keluarga itu.

Pihak polis dan kerajaan hari ini dalam permohonan mereka merayu jumlah ganti rugi kepada keluarga itu pada sebanyak RM100,000 berdasarkan Seksyen 7 dan Seksyen 8 Akta Undang-Undang Sivil.

Bagaimanapun, ketiga-tiga hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif menolaknya.

“Tidak ada keperluan untuk mentafsirkan kedua-dua seksyen itu. Permohonan rayuan ini ditolak,” katanya memetik laporan Malaysiakini.

Hakim lain yang bersidang sama adalah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali yang membuat keputusan sebulat suara.

Mahkamah Tinggi di Shah Alam pada Mac 2016 memberi RM414,800 kepada ibu Aminulrasyid, Norsiah Mohammad dan kakak sulungnya Nor Azura sebagai ganti rugi atas kematian remaja itu.

Bagaimanapun Mahkamah Rayuan pada Jun 2017 mengurangkan jumlah ganti rugi kepada RM114,800 tetapi mengekalkan keputusan bahawa tiada justifikasi untuk polis melepaskan tembakan ke arah Aminulrasyid.

Norsiah, 68, dan Nor Azura, 47, menyaman polis dan kerajaan dengan menuntut ganti rugi bagi kematian Aminulrasyid, yang mati akibat luka tembakan di kepala yang mereka dakwa disebabkan oleh kecuaian Koperal Jenain Subi.

Aminulrasyid terkena tembakan dilepaskan polis semasa mengejar kereta yang dipandu remaja itu pada kira-kira jam 2 pagi pada 26 April, 2010.

Jenain, 54, dituduh menyebabkan kematian Aminulrasyid namun dia kemudiannya dibebaskan dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.


Pengarang :