SELANGOR

Polis pergiat operasi banteras jualan minuman keras tanpa lesen

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 13 MAC: Usaha berterusan pihak polis menjalankan operasi bagi membanteras kegiatan penjualan minuman keras tanpa lesen di daerah ini terus dipergiatkan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata, sebanyak tiga serbuan berjaya dibuat di beberapa lokasi berasingan sekitar kawasan Seksyen 27, yang membawa kepada penangkapan seramai empat pekerja premis.

Katanya, tangkapan itu melibatkan tiga lelaki warganegara Myanmar dan seorang lelaki warganegara India.

“Dalam serbuan tersebut, kami merampas 222 tin dan 723 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai tiruan.

“Dua set pembesar suara dan mesin kira-kira serta wang tunai berjumlah RM30,000 melibatkan kegiatan itu turut dirampas,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 76 Akta Eksais 1976 kerana memiliki dan menjual minuman keras tanpa lesen sah yang membawa hukuman denda lebih daripada RM5,000

Sementara itu, Baharudin menggesa orang ramai supaya dapat menyalurkan maklumat agar tindakan dapat diambil ke atas premis yang disyaki melakukan urus niaga penjualan minuman keras.


Pengarang :