SELANGOR

Projek ECRL: Putus tindakan selepas terima permohonan pemaju

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 27 MAC: Kerajaan Negeri akan melaksanakan tindakan bersesuaian dengan cadangan permohonan pihak pemaju atau konsesi Projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL).

Ia termasuk berkaitan penggunaan hutan di Selangor bagi memastikan tiada kemusnahan dilakukan bagi pelaksanaan projek berkenaan.

Bagaimanapun, Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata setakat ini tiada permohonan rasmi daripada pemaju atau konsesi projek berkaitan bagi tujuan itu.

“Kerajaan Negeri belum menerima permohonan rasmi bagi menjadikan sebahagian hutan simpan di Selangor untuk tujuan projek jajaran ECRL.

“Kalau mengikut kepada prosesnya, pemaju atau konsesi projek harus membawa permohonan pembangunan mengikut Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 di mana ianya dibentang dan dibincangkan bersama,” katanya dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mejawab pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han.

Mengulas lanjut, katanya, sebarang pertimbangan dan keputusan hanya akan dibuat selepas menerima permohonan bagi pembangunan projek berkenaan.

“Sekiranya kita terima permohonan, kita akan bincang dan pertimbangkan sebarang perkara dipohon,” katanya merujuk pertanyaan tambahan Sze Han.

=EZY=


Pengarang :