Vladimir Putin
GLOBAL

Putin menang besar, peroleh 76.67% undi berkuasa sehingga 2024

MOSCOW 20 MAC: Vladimir Putin semalam menerima mandat untuk mentadbir Rusia selama enam tahun lagi selepas menang besar dalam pilihan raya Presiden, namun, setakat ini hanya sekutu-sekutu rapatnya mengucapkan tahniah kepada beliau ketika hubungan Moscow dan Barat merudum.

Putin yang memerintah Rusia selama hampir dua dekad, mencatatkan prestasi terbaik beliau dalam pilihan raya kali ini selepas memperoleh 76.67 peratus undi tetapi menolak kemungkinan untuk berkuasa seumur hidupnya.

Pembangkang berkata, keputusan pilihan raya itu diseleweng termasuk kes pengundi memangkah berbilang kertas undi dan dakwaan penipuan lain ketika Kremlin berusaha mendapatkan peratusan keluar undi yang tinggi untuk memberikan kewajaran kepada penggal keempat pemerintahan bersejarah Putin.

Putin yang melanjutkan kuasanya sehingga sekurang-kurangnya tahun 2024 dan merupakan pemimpin paling lama memerintah Rusia selepas Joseph Stalin, menafikan mahu menjadi Presiden seumur hidupnya.

“Dengar kata-kata saya. Saya beranggapan apa yang anda katakan agak lucu,” katanya kepada pemberita kelmarin ketika ditanya adakah beliau melihat dirinya akan bertanding lagi pada tahun 2030.

“Apa, saya akan duduk di sini (kerusi Presiden) sehingga saya berusia 100 tahun? Tidak.” ujarnya.

Putin bertanding melawan tujuh calon lain dalam pilihan raya itu tetapi pengkritiknya yang paling lantang, Alexei Navalny dilarang daripada menjadi calon atas faktor undang-undang.

“Saya melihat dalam (keputusan) ini wujud keyakinan dan harapan rakyat,” kata Putin ketika berucap kepada ribuan penyokongnya di sebuah dataran berhampiran Kremlin menjelang kemenangannya.

Peratusan pengundi adalah lebih 67 peratus selepas pihak berkuasa menggunakan taktik ganjaran dan ugutan bagi meningkatkan bilangan pengundi dalam pilihan raya tersebut.

Pertandingan swafoto, pemberian hadiah, festival makanan dan penghibur kanak-kanak dipersembahkan di pusat-pusat pengundian dalam usaha mewujudkan suasana festival sepanjang pilihan raya.

Namun, kakitangan kerajaan dan pekerja swasta melaporkan bahawa mereka menerima tekanan supaya keluar mengundi.

SUMBER: AFP


Pengarang :