NASIONAL

Putrajaya janji tidak ditepati, hanya bina 2% Rumah PRIMA?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 6 MAC : Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan didakwa gagal menyiapkan projek perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia.

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang berkata, kementerian terbabit hanya menyiapkan sekitar dua peratus daripada manifesto Kerajaan Persekutuan untuk menyelesaikan projek berkenaan sekitar 500,000 rumah PR1MA.

“Mengikut jawapan yang diberi Menteri Dalam Negeri dalam sidang Parlimen tahun lalu, hanya sekadar 10,169 unit kediaman Rumah PR1MA disiapkan pada Jun lalu.

“Selepas empat tahun lalu, walaupun ada sasaran 500,000 pada awalnya, cuma dua peratus sahaja disiapkan.

“Bukankah ini menunjukkan bahawa janji itu tidak ditepati, walaupun pada manifesto Barisan Nasional dalam pilihanraya lalu untuk menyediakan satu juta rumah termasuklah 500,000 rumah PR1MA.

“Justeru, bagaiaman Kerajaan Persekutuan boleh laksanakan janji itu?” soalnya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, pagi ini.

Bagaimanapun, Menteri bertanggungjawab, Tan Sri Noh Omar dalam jawapan balasnya memaklumkan, proses pembinaan dan perancangan projek PR1MA masih diteruskan untuk tempoh 2018.

“Pembinaan rumah ini melibatkan beberapa kategori dan antara lain temrasuklah projek PR1MA yang kini sudah disiapkan sekitar 25,000.

“Untuk makluman, pembinaan rumah ini mengambil masa sehingga dua atau tiga tahun, justeru masih ada sekitar 145,000 yang masih dibina dan 114,000 unit lagi dalam perancangan,” katanya.


Pengarang :