SELANGOR

#QuranHour pembuka tirai Hari Terbuka UNISEL 4.0

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MAC : Universiti Selangor (UNISEL) membuka tirai Hari Terbuka UNISEL 4.0 dengan Selangor #QuranHour di Masjid Kampus Bestari Jaya, pagi ini.

UNISEL menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta pertama yang menganjurkan program #QuranHour peringkat negeri dengan kerjasama Rumah Ngaji dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF).

Program melalui tadabbur dan tazakkur dengan al-Quran terbuka kepada orang ramai bermula jam 10 pagi hingga 12 tengah hari tadi.

Hari Terbuka UNISEL 4.0 bertempat di kampus Bestari Jaya berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 18 Mac.

Terdahulu, Naib Canselor UNISEL, Prof Dato’ Mohd Redzuan Othman berkata, penganjuran hari terbuka kali ini dilangsungkan secara besar-besaran dengan sasaran 40,000 pengunjung akan hadir.

Beliau berkata, bertemakan ‘kebudayaan dan sukan’, hari terbuka dengan kerjasama Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan itu diyakini menarik minat anak muda untuk menyertainya.

“Penganjurannya bertujuan memperkenalkan transformasi UNISEL kepada masyarakat bawaha UNISEL kini sudah berubah dengan imej dan penampilan yang baru lebih ceria serta menawarkan pelbagai program untuk masyarakat setempat,” katanya kepada Selangor Kini.

Prof Redzuan berkata, tarikan terbesar hari terbuka itu adalah pertandingan memancing dengan UNISEL menawarkan ganjaran keseluruhan RM20,000 kepada pemenang.

“Selain itu, aktiviti lain yang diadakan adalah tarik tali, bola sepak, street soccer, bola jaring, bola keranjang, dodgeball, drumline battle, extreme run, kabbadi, paintball dan ragbi.

“Bukan itu sahaja, turut disediakan pelbagai hidangan serta juadah menarik yang akan dijual pada hari terbabit termasuk pesta durian kampung, mee kawah, char kuey teow dan burger grill.

“Kita berharap melalui hari terbuka ini, masyarakat dapat menilai bagaimana komitmen Kerajaan Negeri terhadap pendidikan dan UNISEL sebagai model contoh terbaik,” katanya.

Pada masa sama, turut diadakan pemberian baucer HIJRAH yang bakal disampaikan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, pada 18 Mac ini.


Pengarang :