SUKANKINI

Rajagopal: PKNS FC tampil aksi terbaik

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 11 MAC: Ketua jurulatih, Dato’ K Rajagobal menganggap PKNS FC memberi persembahan terbaik ketika menewaskan Kelantan 1 – 0, Jumaat lalu.

Katanya, pemain menunjukkan kombinasi bertenaga dan agresif serta layak mendapat tiga mata kerana Kelantan tampil dengan cabaran sengit.

“Saya boleh katakan ini antara permainan terbaik PKNS FC. Bukan senang untuk menang ke atas Kelantan yang mempunyai barisan pemain hebat.

“Secara keseluruhannya, pemain memberikan persembahan bertenaga dan perlu kekalkan konsistensi dalam perlawanan berikutnya. Perjalanan liga masih jauh,” katanya dalam sidang media.

Bekas pengendali skuad kebangsaan itu turut memuji persembahan pemain dari Singapura, Faris Ramli melalui kepantasan dan kreativitinya yang bagus untuk moral pasukan.

Katanya, gandingan dua pemain import, Jonatan Acosta dan Romel Morales di bahagian tengah juga berkesan sehingga diakui jurulatih lawan.

“Pemain pertahanan, Daniel Ting yang turun dalam kesebelasan utama buat pertama kali juga memberi persembahan baik selain penjaga gol, Shahril Sa’ari yang mencatatkan tiga kali berturut-turut ‘clean sheet’,” katanya.

Menjawab pertanyaan, Rajagopal menjelaskan beliau tidak mahu terburu-buru menurunkan Safee Sali dalam kesebelasan utama kerana pemain itu baru pulih dari kecederaan hamstring.

The Red Ants menewaskan The Red Warriors hasil jaringan Faris pada minit ke 39.


Pengarang :