SELANGOR

Rakyat berilmu tidak mudah diperbodohkan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 31 MAC: Kewujudan golongan tidak berilmu dan kurang berkeyakinan diri menyebabkan media dikuasai pemerintah mengambil kesempatan untuk memperbodohkan kelompok terbabit.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dengan ilmu juga masyarakat mampu hadapi segala cabaran dan mematahkan fitnah serta tohmahan dengan tenang, rasional, logik dan penuh keyakinan.

“Matlamat agenda pencerahan adalah untuk memupuk fikiran rasional di mana masyarakat dapat membezakan yang benar dengan palsu, antara ‘real news’ dan ‘fake news’, antara undang-undang luhur dengan undang-undang rimba, antara demokrasi dan kleptokrasi.

“kalau kita tidak mempunyai ilmu dan tidak mempunyai keyakinan, maka rakyat akan mudah diperbodohkan oleh media yang dikuasai sang pemerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pesta Buku Selangor 2018, di Shah Alam Convention Centre (SACC) di sini, hari ini.

Jelasnya, penggubalan undang-undang menyekat demokrasi yang disifatkan sebagai undang-undang rimba itu juga tidak mampu mematahkan fitnah dan tohmahan dilemparkan pihak tidak bertanggungjawab.

Katanya, budaya berhujah tanpa emosi berlandaskan fakta dan ilmu merupakan prasyarat untuk membentuk demokrasi yang matang.

“Undang-undang sahaja yang kini sedang hangat diperbahaskan sebenarnya tidak boleh dan tidak mampu menangani berita palsu apatah lagi undang-undang yang digubal untuk mencabuli perlembagaan dan hak asasi rakyat dan menutup ruang demokrasi dan bersuara yang sebenarnya adalah hak rakyat untuk memilikinya.

“Oleh itu hari ilmu ini amat bertepatan dengan aspirasi Kerajaan Negeri melahirkan masyarakat berilmu dan berketrampilan dan memiliki keyakinan diri dalam menentukan masa depan negara kita,” katanya.

=EZY=


Pengarang :