SELANGOR

Rakyat minoriti terus diberi perhatian, peruntukan ditambah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 18 MAC: Kerajaan Negeri terus prihatin terhadap golongan rakyat minoriti di Selangor dengan pertambahan peruntukan sejak 2015.

Exco Kemiskinan, dan Kerajaan Prihatin Dan Pekerja Ladang, V. Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri menambah memperuntukkan khas untuk rumah ibadat bukan Islam.

“Tahun lalu juga Kerajaan Negeri telah meningkatkan peruntukan khas kepada komuniti Sikh di Selangor daripada RM500,000 kepada RM1 juta bagi menjalankan aktiviti kemasyarakatan dan menambahbaik infrastruktur gurdwara.

“Perkara itu menunjukkan pentadbiran di bawah Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sangat prihatin dalam menjaga hak semua kaum termasuk rakyat minoriti di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan sepanjang 10 tahun lalu di Karnival Himpunan Rakyat di Stadium Malawati, semalam.

Sehingga Oktober 2017, sebanyak 518 persatuan telah menerima sumbangan berjumlah RM5.1 juta bagi aktiviti keagamaan masing-masing.

Tahun ini juga, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebanyak RM6 juta bagi aktiviti yang sama.

Ganabatirau berkata, kepelbagaian agama di Selangor juga salah satu tarikan rakyat di Malaysia memilih Selangor sebagai penempatan tetap.

Katanya, tahun lalu data migrasi dikeluarkan Jabatan Perangkaan Negara menunjukkan Selangor menerima kedatangan paling tinggi rakyat dari negeri-negeri lain.

“Beruntung rakyat yang menetap 10 tahun Selangor turut boleh menerima manfaat IPR yang dilaksanakan Kerajaan Negeri.

“Kita juga iktiraf kehadiran mereka kerana mereka juga menyumbang kepada peningkatkan ekonomi yang menjadikan Selangor sebagai Penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya.

=EZY=


Pengarang :