SUKANKINI

Red Giants ‘dilumutkan’ Perak 0-3

OLEH HAFIZAN TAIB

LUMUT, 12 MAC: Perak mencatat kemenangan selesa 3 – 0 ketika berdepan Selangor dalam perlawanan Liga Super di Stadium TLDM, di sini, semalam.

Pasukan tuan rumah beraksi dengan yakin di gelanggang sendiri dan bermula baik melalui gerakan diatur bagi menggugat pertahanan lawan.

Beberapa percubaan dilancar ke kubu Selangor akhirnya memihak kepada Perak pada minit ke-21 hasil jaringan sendiri Ashmawi Yakin yang tertanduk bola ke dalam pintu gol sendiri.

Gol itu memberi keyakinan kepada skuad Mehmet Durakovic yang terus melancarkan serangan dan berhasil menambah jaringan menerusi Kenny Pallraj (m35).

The Bod Gaurus terus selesa meninggallkan The Red Giants dengan tiga gol apabila Gilmar Jose Da Silva mengambil giliran dengan satu tendangan kencang melepasi Khairul Azhan Khalid dalam masa tambahan babak pertama.

Memasuki separuh masa kedua, skuad P Maniam cuba bangkit dengan beberapa serangan dilancar dan peluang diperoleh melalui Joseph Kallang Tie (m63) tetapi berjaya dihalang pertahahan Perak.

Keadaan menjadi sukar buat Selangor apabila terpaksa berkais dengan sepuluh pemain selepas Willian Pacheco (m85) dilayangkan kad merah selepas menerima kad kuning kedua ekoran kekasaran ke atas Nasir Basharuddin.

Kekalahan itu adalah ketiga berturut-turut untuk Selangor dan kini turun ke tangga kelapan liga dengan enam mata manakala Perak keenam (tujuh).

Dalam satu lagi perlawanan, Melaka United menewaskan PKNP 2 – 0 di Stadium Hang Jebat dan melonjak pasukan itu ke tangga keempat (sembilan).

Kedua-dua gol pasukan tuan rumah dihasilkan penyerang import, Egor Zubovich.

=EZY=


Pengarang :