EKONOMI

Ringgit dibuka pada 3.9020/9060 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 8 MAC: Ringgit dibuka tinggi pagi ini berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika wujud ketidaktentuan mengenai cadangan Amerika Syarikat untuk mengenakan duti import, selain perletakan jawatan oleh penasihat ekonomi utama, Gary Cohn, kata seorang peniaga.

Pada jam 9 pagi, nota tempatan disebut harga pada 3.9020/9060 berbanding dolar daripada 3.9030/9080 pada penutupan Rabu.

Ketua Pedagang OANDA bagi Asia-Pasifik, Stephen Innes berkata Presiden Donald Trump dilaporkan merancang membuat pengumuan mengenai tarif ke atas keluli dan aluminium lewat minggu ini, manakala pelabur kini masih memikirkan kesan perletakkan jawatan oleh Cohn.

“Pelabur berharap lebih banyak pendekatan tarif yang lebih cekap ke atas pelanggaran dagangan yang nyata. Jika ada harapan, masih ada kesan positif ke atas pasaran,” kata Innes.

Dalam negara, Innes berkata keputusan Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman pada 3.25 peratus semalam, sudah dijangkakan, susulan unjuran prospek pertumbuhan global yang positif.

“Hanya kejutan inflasi yang akan mendorong kadar kenaikan kadar sekali lagi pada 2018.

“Namun, BNM sudah pasti akan membuka pintu untuk untuk mengembalikan dasar ke paras normal dengan memberi isyarat bahawa ia akan terus menilai keseimbangan pertumbuhan dan inflasi,” katanya.

Sementara itu, mata wang tempatan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 2.9675/9717 daripada 2.9687/9730 pada Rabu dan meningkat berbanding yen kepada 3.6777/6825 daripada 3.6950/6008.

Berbanding euro, ringgit mengukuh kepada 4.8408/8473 daripada 4.8483/8561 namun menyusut berbanding pound British kepada 5.4246/4317 daripada 5.4107/4192 pada Rabu.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :