NASIONAL

Ringgit dibuka tinggi

KUALA LUMPUR, 30 MAC: Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini berikutan permintaan meningkat serta prestasi dan prestasi tidak menentu dolar AS.

Pada jam 9 pagi, ringgit diniagakan pada 3.8590/8650 berbanding 3.8660/8700 ketika ditutup, semalam.

Ketua Perdagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, perkembangan itu menjadi tempoh terbaik bagi pedagang meneliti kedudukan masing-masing menjelang risiko pada hujung minggu apabila prestasi dolar AS diunjur tidak memberangsangkan seperti dijangkakan.

“Strateginya adalah memantau perkembangan itu sehingga mendapat petunjuk jelas daripada pihak Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar inflasi negara maju itu sebelum mengambil tindakan seterusnya,” katanya.

Innes berkata, memandangkan ketidaktentuan prestasi mata wang itu, tempoh seminggu ini juga disifatkan menjadi waktu untuk menunggu petunjuk baharu ketika kadar faedah juga dijangka tidak memberi sebarang dorongan terhadap pasaran tukaran asing.

Dalam pada itu, ringgit kebanyakannya diniagakan tinggi berbanding kelompok mata wang utama.

Ia tinggi berbanding dolar Singapura kepada 2.9422/9479 daripada 2.9473/9506 pada Khamis namun merosot berbanding yen Jepun pada 3.6300/6359 daripada 3.6253/6294.

Ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4080/4180 daripada 5.4375/4443 dan tinggi berbanding euro pada 4.7466/7547 daripada 4.7598/7663.

 


Pengarang :