EKONOMI

Ringgit diniaga 3.9100/9130 berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR 20 MAC: Ringgit mencatat lantunan untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS hari ini, menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan Amerika Syarikat hari ini.

Pada jam 9.05 pagi, ringgit disebut harga pada 3.9100/9130 berbanding 3.9160/9190 semasa ditutup semalam.

Ketua Perdagangan Asia Pasifik di OANDA, Stephen Innes, berkata mata wang pesat membangun dan pengeluar komoditi terus mengalami penyusutan dalam persekitaran di mana pelabur mengelak mengambil risiko.

“Namun, dengan pasaran yang mula mengambil kira kecenderungan Fed untuk menaikkan kadar faedah sebanyak empat kali pada 2018, pasaran telah mengimbangli kedudukan dolar US/ringgit dan mata wang Asia, menyebabkan ringgit tertekan,” katanya dalam nota hari ini.

Innes berkata prospek Fed mahu segera mengembalikan dasar ke paras normal dan pasaran yang mengelak daripada mengambil risiko, menjejaskan sentimen ke atas ringgit.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit susut berbanding euro pada 4.8261/8302 berbanding 4.8096/8137 Isnin dan turun berbanding pound British pada 5.4881/4927 daripada 5.4718/4768.

Berbanding dolar Singapura, ia menyusut sedikit kepada 2.9718/9748 daripada 2.9712/9746 semalam namun mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6849 / 6880 daripada 3.6936/6975.

SUMBER: BERNAMA

 


Pengarang :