EKONOMINASIONAL

Ringgit kekal rendah berbanding dolar AS

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 MAC : Ringgit kekal rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjadikan permintaan semakin berkurangan.

Memetik laporan BERNAMA, setakat jam 9 pagi tadi, ringgit berada pada 3.9250 / 9290 daripada 3.9160 / 9200 pada penutup, semalam.

Ketua Perdagangan Asia-Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata, punca ringgit rendah minggu ini ekoran pengalihan keluar suku akhir.

“Ketika ini dijangkakan dolar AS tinggi berbanding ringgit dengan kekuatan dolar yang lebih luas dan peningkatan hasil bon AS.

“Sentimen risiko yang memudaratkan pasaran ekuiti serantau akan menjadi perjuangan ditambah dengan ancaman aliran keluar serantau.

“Peningkatan retorik perang perdagangan juga dapat menyentuh semua sentimen mata wang serantau yang menyeret ringgit untuk sama turun,” katanya.

Manakala, seorang peniaga berkata, pasaran mata wang AS menjadi tumpuan semalaman dan semakin meningkat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan yang dijadualkan pada 19 Mac lalu dengan bank pusat dijangka menaikkan kadar faedahnya.

“Tetapi dengan pengumuman positif oleh perdana menteri semalam bahawa ringgit akan berdagang lebih tinggi berbanding dolar AS, maka kami berharap ia akan mendorong lebih banyak belian untuk ringgit atau sekurang-kurangnya menyekat ringgit daripada terus lemah (berbanding dolar Amerika Syarikat),” katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilaporkan berkata ringgit dijangka melonjak kepada 3.80 berbanding dolar AS dalam tempoh terdekat, disokong oleh petunjuk positif, termasuk prestasi ekonomi dan eksport ekonomi negara yang bernilai lebih RM80 bilion pada suku pertama, tahun ini.

Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur dengan sekumpulan mata wang baru muncul.

Ringgit naik berbanding dolar Singapura kepada 2.9834 / 9876 daripada 2.9893 / 9942 pada hari Khamis dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8285 / 8350 daripada 4.8398 / 8455.

Manakala, berbanding yen, ringgit sedikit lebih rendah pada 3.6966 / 7007 daripada 3.6957 / 7002 dan menurun kepada 5.4663 / 4739 daripada 5.4585 / 4653 berbanding pound British.


Pengarang :