GLOBAL

Rizab Persekutuan AS naikkan kadar faedah utama

WASHINGTON 22 MAC: Rizab Persekutuan (Fed) menaikkan kadar pinjaman utama buat pertama kalinya tahun ini kepada paras tertinggi dalam tempoh sedekad berikutan unjuran pertumbuhan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang kukuh.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan, Pengerusi Fed yang baharu dilantik, Jerome Powell, mempengerusikan mesyuarat pertamanya yang menaikkan kadar dana persekutuan kepada 1.5 hingga 1.75 peratus.

Langkah itu akan memberi kesan kepada semua jenis pinjaman, daripada perumahan, kereta hinggalah kepada pinjaman pelajar.

Dalam sidang media pertamanya sebagai Pengerusi Fed, Powell merujuk kepada faktor yang telah melonjakkan unjuran ekonomi dalam beberapa bulan kebelakangan ini, termasuklah lebih banyak rangsangan dasar fiskal berikutan pemotongan cukai besar-besaran yang diluluskan Kongres pada Disember lalu.

Sebagai tambahan, beliau berkata keuntungan pekerjaan sedia ada telah melonjakkan pendapatan dan keyakinan (dan) pertumbuhan asing berada pada landasan yang kukuh.

Ia berkemungkinan menyebabkan pegawai Fed memberi isyarat bahawa mereka menjangkakan laluan yang lebih agresif bagi peningkatan kadar pada tahun depan.

Bagaimanapun, Powell memberitahu walaupun dengan kenaikan kadar faedah itu, ekonomi terbesar dunia itu masih “lebih sihat berbanding sebelum krisis kewangan. Ia adalah ekonomi yang lebih sihat berbanding 10 tahun lalu,”.

Dalam masa yang sama, beliau turut mengakui bahawa bank pusat itu kini menganggap prospek perang dagangan global sebagai “risiko yang lebih menonjol” kepada unjuran ekonomi.

SUMBER: AFP


Pengarang :