SELANGOR

RM52.4 juta diperuntuk naik taraf perpustakaan

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 31 MAC: Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) menyambut baik komitmen Kerajaan Negeri yang memperuntukkan sejumlah RM52.4 juta dalam usaha memacu pembangunan perpustakaan di negeri itu.

Pengarah PPAS, Mastura Muhamad berkata, keberkesanan itu jelas terbukti apabila sebanyak 50 perpustakaan awam berjaya dinaik taraf sepanjang tempoh 10 tahun.

“Kadar peruntukan itu adalah satu jumlah yang agak besar dan kami berbesar hati dengan inisiatif Kerajaan Negeri dalam membangunkan pendidikan masyarakat di Selangor khususnya.

“Pada tahun ini, kami menerima peruntukan RM7.5 juta daripada Kerajaan Negeri untuk projek menaik taraf perpustakaan awam daerah, manakala 1 juta lagi untuk perpustakaan desa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui SelangorKini selepas Majlis Perasmian Pesta Buku 2018, di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini, hari ini.

Tambah Mastura, projek perpustakaan kontena di Kampung Lindungan juga sedang rancak dijalankan dengan memperuntukkan sebanyak RM650 ribu.

Katanya, projek itu mendapat kerjasama dan sokongan erat daripada Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan dijangka siap pada April nanti.

“Kerajaan Negeri sepatutnya memberi 1,500 kaki persegi bagi konsep perpustakaan kontena, tetapi kita dapat memperluaskan kepada 3,500 kaki persegi.

“Ia bakal dilengkapi dengan prasarana asas yang lebih canggih seperti pusat siber dan bilik mesyuarat, bilik perbincangan, bilik aktiviti dan banyak lagi.

“Selain itu, di luar perpustakaan juga akan terdapat elemen landskap seperti taman permainan dan tempat berkelah sekaligus memperlihatkan ia sebagai tempat yang penuh fantastik,” katanya.

=EZY=


Pengarang :