SELANGOR

Sasar turunkan NRW 20% menjelang 2035

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 28 MAC: Kerajaan Negeri merancang serta mensasarkan untuk menurunkan kadar Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water, NRW) ke paras 20 peratus menjelang 2035.

Exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Permodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abd Talib berkata, berdasarkan pelan perniagaan yang dirancang, keseluruhan kos bagi kerja penurunan NRW dianggarkan sebanyak RM13.6 bilion selama 30 tahun termasuk kos kerja penukaran paip lama.

“Pelbagai program NRW dan inisiatif akan dilaksana berdasarkan pelan perniagaan termasuk Program Pengesahan Kebocoran Aktif pada paip retikulasi, paip utama dengan menggunakan alat pengesanan kebocoran berteknologi tinggi,” katanya menjawab soalan lisan ADN Sekinchan dan ADN Kampung Tunku di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan pembentukan Zon Permeteran Daerah, Kawasan Imbangan Air dengan Pengurusan Tekanan Air.

“Kita juga akan membuat penukaran paip komunikasi yang berselerak dan lama serta penukaran meter di Loji Rawatan Air (LRA) selain mengadakan program penukaran meter air pengguna, penukaran meter mekanikal kepada meter elektromagnetik dan pensaizan semula meter air pengguna,” katanya.

Manakala bagi membiayai kerja penurunan NRW, Zaidy berkata, selain peruntukan negeri, juga mencadangkan sumber kewangan daripada Selangor dan Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB), geran dari Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan peruntukan dana dalaman Air Selangor.

=EZY=


Pengarang :