BERITA UTAMANASIONAL

Satelit Tiangong-1 lintasi Malaysia ketinggian 176.908 km hari ini

KUALA LUMPUR 31 MAC: Satelit Tangong-1 milik China di jangka memasuki ruang angkasa Malaysia mulai jam 2.28 petang 31 Mac dari arah barat melintasi Lembah Klang dan Pahang menuju ke Laut China Selatan.

Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Dr Noordin Ahmad dalam kenyataan yang dikeluarkan berkata, lintasan pertama itu akan berada pada ketinggian 176.908 Kilometer (KM) selama 81 saat dan menjunam sehingga 176.766 KM ketika memasuki Laut China Selatan.

Sebelum ini dilaporkan, Tiangong-1, dijangka memasuki kembali ke atmosfera Bumi antara 30 Mac dan 3 April dalam kemasukan semula yang tidak terkawal.

Tiangong-1 adalah stesen angkasa milik China yang dilancarkan pada 29 September 2011 dan pada September 2016, Penolong Pengarah di China Manned Space Engineering (CMSE), Wu Ping mengumumkan bahawa stesen angkasa berkenaan akan jatuh ke atmosfera Bumi.

Sementara lintasan kedua akan bermula dari utara perairan Kelantan di Laut China Selatan pada ketinggian 184.037 KM jam 1.44 tengah hari dan berakhir 47 saat kemudian selepas melintasi sempadan laut di perairan Pahang menuju ke selatan.

Bagaimanapun semua maklumat yang diberikan adalah ramalan dan mungkin berubah setiap hari.

Sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan melalui Laman Portal ANGKASA iaitu www.angkasa.gov.my

 


Pengarang :