SELANGOR

Sebaran syarat palsu, cubaan sabotaj KISS

OLEH NAZLI IBRAHIM

KOTA DAMANSARA, 30 MAC: Satu sebaran bermotifkan politik bertujuan mensabotaj program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dikesan berlegar menerusi applikasi whatsapp sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara, Mohd Radzlan Jalaluddin, berkata sebaran palsu itu mengandungi senarai syarat palsu yang kononnya dikenakan Kerajaan Negeri bagi permohonan KISS.

“Jangan percaya khabar angin atau mesej yang tidak betul di mana kita dapati ada beberapa percubaan sabotaj, kononnya penerima zakat dan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tak layak dan paling jahat sekali menyebarkan kononnya ahli parti politik tertentu sahaja yang layak, ini suatu fitnah yang besar.

“Kita dapat tahu perkara ini apabila banyak disebarkan melalui whatsapp. Saya juga jumpa seorang ibu dan memaklumkan dia tidak boleh memohon kerana dia seorang penerima zakat,” katanya.

Jelasnya, Kerajaan Negeri mengamalkan dasar buta warna politik, agama dan bangsa dalam menjalankan program Kerajaan Negeri supaya semua lapisan masyarakat memperolehi manfaat disediakan.

Katanya, selain applikasi whatsapp, beliau turut menerima satu klip video dilakonkan individu tidak dikenali berlegar di media sosial facebook kononnya hanya ahli parti politik tertentu sahaja boleh memohon KISS.

“Ini memang bermotifkan politik, kononnya Kerajaan Negeri hanya menjaga ahli parti tertentu sahaja sedangkan Dato’ Menteri Besar menjaga semua tanpa mengira parti sebab pertimbangan kita adalah rakyat,” katanya lagi.


Pengarang :