PBTSELANGOR

Sektor korporat main peranan, jayakan pemeliharaan & pemuliharaan alam sekitar

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 4 MAC: Peranan sektor korporat melaksanakan tanggunjawab sosial korporat (CSR), menjadi tonggak penting bagi memastikan alam sekitar sentiasa terjaga.

Datuk Bandar, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, ia sejajar dengan proaktif diambil Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Syarikat 99 Speed Mart Sdn Bhd untuk menjayakan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Katanya, hasil persetujuan bersama terhadap cadangan projek pembinaan pusat kitar semula, ia jelas membuktikan syarikat itu sentiasa peka terhadap isu alam sekitar

“Syarikat 99 Speed Mart memainkan peranan melalui penyaluran kutipan bayaran 0.20sen untuk setiap beg plastik yang diberi kepada pembeli

“Hasil kutipan bayaran beg plastik itu akan dipanjangkan kepada program-program pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Pusat Kitar Semula MBSA, di Seksyen U13, hari ini.

Pada masa sama, Zaharin berterima kasih kepada Syarikat 99 Speed Mart Sdn Bhd yang telah memilih MBSA sebagai salah satu penerima sumbangan program pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Zaharin berharap, syarikat korporat lain dapat bekerjasama bagi membantu MBSA menjadikan daerah itu sebagai sebuah bandaraya rendah karbon menjelang 2030.

Terdahulu, MBSA telah merangka pelbagai aktiviti bagi menyokong Pelan Tindakan Rendah Karbon 2030.

Antaranya Kempen Bebas Plastik, Program Bazar Ramadan Mampan, Pertandingan Kitar Semula, Program Shah Alam Trees For Life dan sebagainya.

=EZY=

 


Pengarang :