BERITA UTAMASELANGORWANITA & KEBAJIKAN

Selangor masa depan negara, tingkat martabat wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 MAC: Inisiatif pelaksanaan Skim Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri mengangkat martabat golongan itu, di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, skim berkenaan menjadi penanda aras bagi meringankan beban kemiskinan membabitkan golongan wanita Selangor.

“KISS adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap peranan dan pengorbanan ibu sebagai tunggak institusi keluarga dan masyarakat.

“KISS dikhaskan untuk ibu kerana ibu adalah insan yang tahu segala-galanya – mother knows best.

“Bersempena Hari Wanita Sedunia, saya ingin mengulangi tekad dan komitmen Kerajaan Negeri untuk memberdaya serta mengiktiraf peranan dan pengorbanan wanita,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan sempena Sambutan Hari Wanita Sedunia, hari ini.

Terdahulu, laporan United Nations Children’s Fund (UNICEF) berhubung tahap kesihatan wanita dan kanak-kanak di negara ini di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kuala Lumpur mendedahkan beberapa aspek yang dilihat berada pada tahap membimbangkan.

Laporan berkenaan turut mendedahkan, 22 peratus kanak-kanak di bawah umur 5 tahun bantut, 15 peratus kurang berat badan, 20 peratus kurus kering dan 23 peratus mengalami obesiti.

Dilaporkan, ianya berpunca daripada masalah pemakanan dalam kalangan masyarakat miskin di bandar selain pendedahkan lain inmenunjukkan gejala bantut dalam kalangan kanak-kanak adalah lebih parah berbanding Ghana, meskipun pendapatan per kapita KDNK Malaysia adalah enam kali lebih tinggi.

Menyedari hakikat itu kata Mohamed Azmin, pelaksanaan skim diyakini mampu membawa sinar baru kepada golongan wanita di Selangor.

“Kita mahu berkongsi pengalaman membantu golongan ibu dan kanak-kanak ini dengan Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia kerana perbezaan politik tidak boleh menghalang kita untuk membantu anak-anak ini.

“Saya percaya Selangor adalah masa depan Malaysia dan KISS adalah sebahagian mekanisme meringankan beban kemiskinan, sekaligus menceriakan masa depan kanak-kanak dan ibu kita,” katanya.

=EZY=


Pengarang :