SELANGOR

Selangor paling terjejas persempadanan semula, 18 daripada 22 berubah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 29 MAC: Persempadanan semula dilakukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) ke atas Selangor tidak adil dan mencurigakan, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Batu Caves, Amirudin Shari.

Beliau berkata, Selangor negeri yang paling terjejas perubahannya apabila 18 daripada 22 kerusi Parlimen di Selangor berubah selepas persempadanan semula kawasan pilihan raya yang disyorkan SPR.

“Memang agak pelik dan mencurigakan apabila Selangor sahaja yang mengalami peralihan pengundi yang begitu besar tetapi tidak begitu terkesan kepada negeri-negeri lain.

“Apa yang terjadi di negeri lain kebanyakkan hanya bertukar nama dan peralihan pengundi yang kecil sahaja.

“Antara kerusi KEADILAN yang akan menerima kesan ialah Selayang, Gombak, Ampang, Pandan, Subang, Kelana Jaya, Kapar, Kuala Langat dan Petaling Jaya Selatan,” katanya kepada Selangor Kini selepas Seminar dan Majlis Penganugerahan J3P di MPSJ, di sini hari ini.

Beliau yang juga Exco Pembangunan Generasi Muda dan Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan berkata, peralihan pengundi yang sangat ketara itu boleh mengganggu gugat kestabilan kaum berdasarkan sesuatu kawasan selain turut memberi kesan kepada demografi pengundi dalam satu-satu kawasan.

Walaubagaimanpun, Amirudin berkata, kawasannya tidak mengalami sebarang perubahan melainkan namanya ditukar kepada DUN Sungai Tua.

“Persoalannya kenapa ia dibuat di saat akhir ketika sudah habis penggal kerana ia boleh mengelirukan pengundi sebelum ini.

“Kalau nak buat pun seharusnya ia dibuat dua tahun supaya parti-parti dapat mengembangkan calon di kawasannya,” katanya.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dalam Sidang Dewan Rakyat semalam berkata SPR bersikap terburu-buru, walaupun ia mempunyai masa sehingga September ini untuk menyiapkan laporan kajian semula persempadanan kawasan pilihan raya dengan teliti.

“Kita yang gubal Perlembagaan Persekutuan, tetapi Umno-BN yang cabul Perlembagaan. Purata pengundi di Selangor untuk setiap DUN seharusnya adalah sebanyak 43,190 pengundi.

“Tetapi, sebanyak 33 kawasan DUN daripada 56 DUN yang ada dalam Selangor, jumlah pengundinya lebih daripada 43,190 pengundi,” katanya.

Ahli Parlimen Gombak itu turut berkata kajian semula persempadanan yang dilakukan SPR sekadar memenangkan UMNO-BN dalam PRU14.

=EZY=


Pengarang :