BERITA UTAMASELANGOR

Selangor, Pulau Pinang hapus mitos Pakatan gagal tadbir Putrajaya

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 8 MAC : Kejayaan pembangunan ekonomi mampan Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir Kerajaan Pakatan melenyapkan mitos, kononnya Pakatan tidak mampu mentadbir negara ini.

Naib Presiden Pakatan Harapan, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kedua-dua negeri berkenaan menjadi contoh terbaik kepada Pakatan untuk menerajui kepimpinan di Putrajaya.

“Rakyat dimomokkan dengan mitos bahawa Umno sahaja mampu memerintah sesebuah negeri. Namun, mitos ini sudah berjaya dihapuskan Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang sejak 2008.

“Kejayaan dua negeri ini bukan sahaja menjadi bukti bahawa Pakatan Harapan boleh membawa perubahan kepada pembangunan negeri yang rancak, tetapi kita juga mampu mentadbir secara telus dengan jaminan keadilan sosial untuk rakyat.

“Hasilnya, rakyat kini sudah semakin yakin bahawa dua negeri ini adalah masa depan kepada pembinaan Malaysia yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Manifesto Pakatan Harapan, di IDCC malam ini.

Sebelum ini, wujud dakwaan pimpinan Umno Barisan Nasional yang mempertikai kemampuan Pakatan untuk mencorak pentadbiran Putrajaya.

Alasannya, ‘kurang pengalaman’ atau tiada kredibiliti pimpinan yang diyakini boleh mencorak pentadbiran secara berkesan dan efektif.

Namun kata Mohamed Azmin, kejayaan ekonomi negeri pentadbiran Pakatan itu dibuktikan menerusi perolehan terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi Selangor untuk tempoh berakhir tiga tahun berturut-turut.

Mohamed Azmin turut mendedahkan, Selangor berjaya membawa pulangan pelaburan berdasarkan statistik dikeluarkan MIDA sebanyak RM3.1 bilion berbanding negeri lain di bawah pentadbiran Umno Barisan Nasional.

“Kita sudah buktikan kejayaan ini kerana pentadbiran Pakatan hari ini berpegang kepada prinsip tatekola, ketelusan, berintergriti dan cekal menetang rasuah,” katanya yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor.

Mengakui perkara sama, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng turut mendedahkan kejayan pentadbiran negeri itu.

Beliau berkata, kejayaan terbesar dibuktikan menerusi pengurangan jumlah hutang negeri tertinggi, tanpa sebarang hutang tertunggak pada 2016, berbanding RM1.49 juta pada 2015.

=EZY=


Pengarang :