SELANGOR

Selangor salur RM8 juta, selesai masalah banjir Pekan Kajang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 13 MAC: Sebanyak RM8 juta disalurkan Kerajaan Negeri di bawah dua projek pembangunan pembaikpulihan tebing Sungai Jelok dan penstabilan tebing Sungai Jeluh yang dilaksanakan bagi mengatasi masalah banjir di Pekan Kajang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, inisiatif pembangunan projek itu turut dilaksanakan bagi meningkatkan fasiliti jangka panjang penduduk Kajang.

Katanya, tumpuan itu juga dijayakan secara komprehensif bagi membuktikan komitmen pentadbiran negeri memastikan penyelenggaraan dan kemudahan warga Kajang, kekal terjamin.

“Daerah Hulu Langat adalah antara daerah rancak membangun dengan projek pembangunan komersial, kemudahan perumahan, fasiliti awam, pembangunan industri, kesihatan dan pendidikan.

“Menjelang 2020, jumlah penduduk di kawasan ini dianggarkan mencecah 1.4 juta dan unjuran ini menjadi cabaran terbesar Kerajaan Negeri untuk merangsang pertumbuhan ekonomi mampan.

“Justeru, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk menyediakan kemudahan sosio-ekonomi terbaik yang meliputi aspek kesihatan, pendidikan, kebajikan, keusahawanan dan fasiliti awam yang turut merangkumi aspek pembinaan penaiktarafan projek tebatan banjir seluruh negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Projek Menaik Aras Jambatan dan Projek Membaikpulih Penstabilan Tebing Sungai Jelok, Pekan Kajang, pagi ini.

Untuk rekod, projek berkenaan menelan belanja keseluruhan RM3.2 juta yang ditanggung sepenuhnya Kerajaan Selangor di bawah Perbelanjaan Pembangunan P12.

Projek yang dimulakan pada 7 Disember 2016 lalu menggunakan teknologi ‘Bebo Arch’ yang berbentuk gerbang sebagai alternatif kepada penggunaan jambatan alang konkrit untuk mengelakkan banjir.

Pelaksanaannya mampu menampung kapasiti air lebih tinggi yang berjaya disiapkan mengikut perancangan awal pada 26 Januari 2018 lalu.

Sementara itu, projek penstabilan Tebing Sungai Jeluh yang menelan belanja RM4.8 juta merupakan sebuah projek pelebaran sungai sedia ada dan pembinaan naik taraf penjalan kaki menerusi penggunaan teknologi ‘flood gate’ dan ‘flap gate’ di bawah jajaran sepanjang 800 meter.

Projek berkenaan dilaksanakan susulan kekerapan berlakunya banjir paling besar di Pekan Kajang pada 3 September 2014 lalu.

Jabatan Kerja Raya Selangor (JKR) memaklumkan, sejak pelaksanaan projek berjaya dibangunkan, tiada lagi kejadian banjir dilaporkan berlaku di Pekan Kajang, walaupun ketika taburan hujan tertinggi dicatatkan tahun lalu.

Ia sekaligus memudahkan urusan jaringan pengangkutan dan pertumbuhan ekonomi mampan warga Kajang.

Terdahulu, Mohamed Azmin bersama pimpinan Kerajaan Negeri, Zaidy Abdul Talib dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turun padang meninjau keberkesanan pelaksaan kedua-dua projek berkenaan.

=EZY=


Pengarang :